Anda di sini

Pengurus jenazah COVID-19 terima anugerah sempena Maulidur Rasul

Advertisement
Mohd Ali (dua, kanan) menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1443 Hijrah peringkat negeri di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah hari ini. - Gambar Bernama 
Mohd Ali (dua, kanan) menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1443 Hijrah peringkat negeri di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah hari ini. - Gambar Bernama 

MELAKA: Tugas menguruskan lebih 100 jenazah COVID-19 sejak tahun lalu tidak pernah dianggap sebagai beban, malah bagi Hasnul Hussien, 52, ia ibarat memikul amanah demi menunaikan tuntutan fardu kifayah.

Beliau berkata tidak pernah terlintas di fikirannya tanggunjawab sebagai pengurus jenazah COVID-19 di Hospital Melaka itu memenatkan, biarpun dibasahi keringat kerana perlu lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) dan keadaan bilik yang sempit serta berbahang.

Katanya pengendalian jenazah COVID-19 agak mencabar kerana ia berbeza dengan proses menguruskan kematian lain, kerana ia membabitkan proses tayamum dan solat jenazah hingga jenazah dimasukkan ke dalam van untuk dibawa ke kubur.

“Saya bersama pasukan akan bertugas pada awal pagi dan sekiranya diperlukan akan bertugas menguruskan jenazah pada waktu malam juga.

“Selagi kita berniat kerja sebagai ibadah, saya tidak pernah rasa gusar dijangkiti virus kerana perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerima Anugerah Abu Thalhah sempena Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1443 Hijrah peringkat negeri, di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah.

Penyampaian anugerah pelbagai kategori itu diberikan atas sumbangan dan khidmat bakti penerima yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Hasnul berkata sejak September lepas beliau juga melihat bilangan jenazah yang diuruskan semakin berkurangan saban hari, berbanding beberapa bulan sebelumnya.

“Pada bulan Julai hingga Ogos kadang kala jumlah jenazah yang perlu diuruskan di Jabatan Forensik Hospital Melaka mencecah 15 jenazah sehari.

“Namun keadaan ini berbeza dan semakin baik… hanya satu atau dua jenazah sehari dan kadang kala ada hari tiada langsung kematian berkait COVID-19, yang perlu diuruskan,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan keberkesanan pemberian vaksinasi kepada rakyat di negara ini menyebabkan situasi itu semakin baik. - Bernama 

Advertisement