Anda di sini

Lebih peluang pendedahan kepada pemain muda rapatkan jurang dengan Zii Jia

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Barisan 'ubi muda' perseorangan lelaki negara akan diberikan peluang pendedahan secara berterusan supaya jurang prestasi yang ketara antara mereka dan juara All England 2021 Lee Zii Jia dapat dikurangkan.

Jaminan itu diberikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas melihat terdapat perkembangan positif ditunjukkan mereka yang diberi kepercayaan beraksi pada kempen Piala Thomas di Aarhus, Denmark baru-baru ini.

Beliau berkata Ng Tze Yong yang berusia 21 tahun dan Leong Jun Hao, 22, antara nama yang menonjol susulan persembahan ditampilkan mereka pada kejohanan berprestij itu yang menyaksikan Malaysia terkandas di peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada musuh tradisi Indonesia.

"Ada mengatakan kita mungkin tidak memberi pendedahan kepada Tze Yong dan Jun Hao. Saya nak bagi tahu Tze Yong dan Jun Hao telah membanggakan kita, mereka menunjukkan kemampuan mereka dan memang ya kita akan memberikan mereka peluang yang lebih.

"...mungkin kelemahan kita adalah balik-balik bercakap tentang Zii Jia, Aaron (Aaron Chia) dan Soh (Soh Wooi Yik). Kita harus merapatkan jurang antara pemain perseorangan lain iaitu Tze Yong, Jun Hao dan Aidil Sholeh (Aidil Sholeh Ali Sadikin) untuk kejar (rapatkan jurang prestasi dengan) Zii Jia," katanya.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Pejabat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) secara dalam talian di Wisma OCM semalam, berkata peluang pendedahan yang sama turut akan diberikan kepada semua pasangan beregu lelaki negara.

Mohamad Norza berkata skuad kebangsaan tidak boleh hanya bergantung kepada gandingan utama yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron-Wooi Yik pada setiap masa.

"Jadi ini tanggungjawab barisan kejurulatihan dan tanggungjawab Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann), janganlah hanya bergantung kepada pemain yang sama sahaja, kita perlu membentuk pemain baharu, dengan itu saja satu hari kita boleh raih Piala Thomas dan kejayaan lain," katanya.

Sementara itu, Mohamad Norza menegaskan bahawa BAM akan memberikan layanan sama rata kepada semua pemain dalam skuad kebangsaan termasuk pasukan wanita.

Beliau berkata tiada layanan istimewa kepada pemain-pemain tertentu dengan mereka yang tidak berjaya mempamerkan konsistensi bakal kehilangan segala kelebihan dan pengiktirafan daripada badan induk itu.

"Bagi kita semua sama, kalau setakat anda menang hari ini esok tak menang, lusa anda menang selepas itu tak menang, anda bukan pemain bertaraf dunia lagi, jadi tingkatkanlah usaha, itu sahaja caranya," jelasnya sambil menyifatkan BAM juga harus memastikan setiap pelaburan yang dibuat memberikan pulangan positif. - Bernama 

Advertisement