Anda di sini

Jadikan perbezaan satu kelebihan harungi krisis ekonomi, kesihatan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu apa jua perbezaan dijadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan, dijadikan sebagai sumber kekuatan.

Perdana menteri berkata sebagai Keluarga Malaysia, setiap daripada rakyat dalam negara perlu berganding bahu untuk memulihkan negara selain menyesuaikan diri dalam norma baharu.

“Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar. 

“Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul 2021M/1443H yang disiarkan secara langsung di RTM1, hari ini.

Ismail Sabri berkata jatuh bangun sesebuah bangsa serta negara terletak kepada kesatuan dan kesepaduannya.

“Rasulullah, misalnya telah mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai suku kaum yang tinggal berhampiran Madinah di wilayah utara dan selatan untuk meningkatkan kesefahaman dan memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran serta menghindar kekacauan selain pertembungan kuasa.

“Jangan kerana kita berbeza pendapat, berlainan wadah atau cara pendekatan, menyebabkan hilang nilai ukhuwah dan semangat perpaduan yang sekian lama terjalin,” katanya.

Atas kepercayaan Rasulullah SAW merupakan suri teladan terbaik umat manusia termasuk ketika menjadi ketua negara dalam membina Madinah, Ismail Sabri berkata kerajaan akan berterusan meneladani inisiatif dilaksanakan Baginda sebagai panduan pentadbiran negara demi kemakmuran Keluarga Malaysia.

“Untuk tujuan itu, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif akan diperkenal dan dirancang oleh kerajaan demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara, ‘No one will be left behind’,” katanya.

Menurutnya, Rasulullah SAW antara lain memperkenalkan Sahifah Madinah untuk kestabilan politik yang mana dasarnya berjaya mewujudkan elemen kebersamaan, hormat menghormati antara masyarakat, seterusnya menyatupadukan mereka sebagai satu keluarga.

“Kestabilan negara dari aspek kesihatan berterusan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan berkekalan, menjadi elemen diberi perhatian khusus Baginda sebagai khalifah Madinah. Nabi Muhammad SAW dalam dasar pentadbirannya di Madinah turut mengutamakan kebajikan seluruh umat Madinah.

“Rasulullah juga memastikan hasil negara dirasai dan disampaikan kepada seluruh penduduk secara adil. Selain itu, Baginda juga sentiasa menggalakkan penduduk Madinah memajukan sektor pertanian dan perniagaan sebagai sumber ekonomi waktu itu,” katanya. 

Dalam konteks kemanusiaan, Ismail Sabri berkata Rasulullah adalah model dalam mengangkat ukhuwah insaniah atau persaudaraan kemanusiaan apabila baginda berusaha menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi atas nama agama, bangsa, warna kulit mahupun keturunan.

“Baginda berusaha menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi atas nama agama, bangsa, warna kulit mahupun keturunan. Ini menunjukkan Islam merupakan agama yang terbangun di atas prinsip memuliakan manusia atau takrim al-insan.

“Ia juga selari dengan Perlembagaan Persekutuan antaranya Perkara 12 yang memberikan hak asasi untuk semua warganegara mendapat pendidikan tanpa sebarang diskriminasi sama ada atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir,” katanya.

Menyentuh tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti, Ismail Sabri berkata ia membawa kepada norma hidup yang menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil dan insani. 

Kesemua nilai ini, katanya selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tentang tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di samping 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

Jelasnya tema itu juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang mana perpaduan dan integrasi nasional telah lama diamalkan di negara ini termasuk dalam sambutan Maulidur Rasul.

“Ia dilakukan melalui penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul kepada insan yang banyak berbakti kepada masyarakat merentasi agama dan bangsa.

“Pengiktirafan ini secara langsung menyumbang ke arah melahirkan generasi Malaysia yang memiliki semangat perpaduan dan kebersamaan serta saling hormat-menghormati selari dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya. - Bernama 

Advertisement