Anda di sini

Fitting room dibenarkan, kompleks beli belah sehingga 10 malam di Sabah

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Aktiviti pakaian, fesyen dan aksesori berkaitan acu baju (fitting) dan bilik acu baju (fitting room) dibenarkan manakala kompleks membeli belah beroperasi bermula jam6 pagi sehingga 10 malam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam kenyataan harian perkembangan COVID-19 berkata perkara itu adalah antara perubahan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi peralihan fasa dua ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Sabah.

Katanya pameran dan aktiviti berkaitan dengan Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) secara bersemuka turut dibenarkan dengan syarat semua yang hadir lengkap divaksin dan kapasiti 50 peratus ruang premis.

Tambahnya aktiviti ekonomi turut membenarkan pengoperasian bilik persalinan, bilik mandi dan bilik solat di premis club house dengan kapasiti 50 peratus ruang bilik.

“Bagi kawalan pergerakan di darat, kerajaan membenarkan hanya tiga orang sahaja wakil isi rumah bagi individu belum lengkap divaksin untuk keluar mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas.

“75 peratus kapasiti penumpang bagi perkhidmatan bas ekspres, bas henti-henti, bas pekerja, bas sekolah, bas pelancongan dan keretapi manakala had maksimum hanya empat individu termasuk pemandu bagi perkhidmatan teksi atau e-hailing.

“Sektor pelancongan pula membenarkan  penggunaan 50 peratus ruang kemudahan penginapan seperti sauna serta jakuzi manakala Taman Tema, Pusat Hiburan Keluarga, taman permainan dalam bangunan, karaoke keluarga dan permainan mesin kanak-kanak boleh beroperasi dengan dikendalika  semua pengusaha, operator dan pengunjung lengkap divaksin,” katanya.

Masidi berkata aktiviti penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan turut dibenarkan bagi sektor industri kreatif dengan kehadiran penonton serta pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni yang dijalankan secara temujanji.

“Pengoperasian panggung wayang turut dibenarkan dengan syarat pekerja dan penonton lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera dengan kapasiti 70 peratus dewan tayangan pawagam,” katanya.

Beliau berkata murid prasekolah dan tadika dibenarkan hadir tanpa penggiliran tertakluk kepada arahan semasa oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kelas tuisyen, kelas muzik, kelas tarian, kelas seni, kelas mengaji berbayar, kelas bahasa berbayar dan sebagainya juga boleh beroperasi secara bersemuka dengan penggiliran serta 50 peratus kapasiti kelas.

“Aktiviti sukan juga membenarkan kanak-kanak dibawah 12 tahun yang ditemani oleh ibu bapa lengkap divaksin dan remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang- kurangnya satu dos vaksin untuk menggunakan fasiliti sukan.

“Penganjuran kejohanan, pertandingan sert acara sukan massa dibenarkan melalui kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang terhad dengan penyertaan tidak melebihi 250 orang dan lengkap divaksin, tempoh masa aktiviti dilakukan bermula 6.00 pagi sehingga 8.00 malam,” katanya.

Katanya bot nelayan di perairan ESSZONE yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan hanya dibenarkan dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang di kawasan jeti yang dibenarkan sahaja tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement