Anda di sini

UMNO sentiasa terbuka menerima kemasukan bekas pemimpin dan ahli : Awang

Advertisement
 Awang menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang diziarahi rombongan bagi membantu meringankan beban yang dihadapi mereka.
SAMPAIKAN: Awang menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang diziarahi rombongan bagi membantu meringankan beban yang dihadapi mereka.



KUALA PENYU: UMNO merupakan sebuah parti yang sentiasa mengamalkan keterbukaan kepada semua termasuk bekas pemimpin dan ahli yang ingin menyertai parti itu kata Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Datuk Awang Lakat.


Jelas Awang, UMNO adalah parti yang inklusif dan bukan eksklusif yang mana UMNO Sabah telah menyatakan pendirian menerima sesiapa sahaja individu yang berminat untuk  menyertai perjuangan parti itu semula.


“Kita sentiasa mengamalkan konsep terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai perjuangan parti kita, bagaimana pun ianya perlu melalui proses seperti biasa mengisi borang keahlian parti dan dikemukakan kepada cawangan, bahagian dan ibu pejabat parti untuk kelulusan,” katanya ketika ditemui selepas menerima sekumpulan 35 orang penduduk di kampung Tenambak Kuala Penyu yang diketuai oleh Baki Saban menyerahkan borang kemasukan ahli UMNO di sini kelmarin.


Hadir sama Timbalan Ketua Umno yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Beaufort Datuk Siti Aminah Aching, Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort Abdul Rahman Taib Naib Ketua Umno bahagian Awang Damit Jion dan Ketua Daerah Mengundi Tenambak Kimloo Jungin.


Menurut Awang yang juga Ketua UMNO bahagian Beaufort, walaupun UMNO Sabah sudah pulih namun penyertaan semua pemimpin dan ahli akan menjadikan parti itu lebih kuat.


"Kita tidak menolak kemungkinan akan menerima kemasukan lebih ramai lagi pemimpin dari pembangkang atau ahli parti lain menyertai UMNO, " katanya.


Tambah Awang,  sebelum ini walaupun ramai yang menganggap UMNO sudah tidak relevan tetapi parti itu tetap menjadi rebutan ramai.


“Bagi saya ia memberikan indikasi bahawa UMNO mempunyai nilai harga yang mahal walaupun itu cuma persepsi. Apapun UMNO tidak boleh sombong untuk mendengar dan membetulkan diri dengan teguran daripada akar umbi.


"Dalam politik, kita perlu ada strategi dan rancangan sekiranya hendak menang, termasuk membuka pintu kepada bekas ahli UMNO yang ingin kembali bersama parti,”  katanya.


Sementara itu Baki yang mengetuai kumpulan tersebut berkata keputusan beliau bersama-sama rakan rakan yang lain menyertai UMNO dibuat kerana yakin kepada kesungguhan UMNO untuk membela rakyat.


“Sejak beberapa tahun lepas, kita melihat UMNO konsisten membantu rakyat tidak kira sama ada UMNO pada ketika itu adalah pembangkang ataupun kerajaan, namun usaha membantu bukan sahaja ahli tapi rakyat keseluruhanya dilaksanakan seperti biasa,” jelas Baki.


Sebaik majlis tersebut selasai Awang bersama rombongan meneruskan program ziarah ke beberapa buah penduduk yang ditimpa musibah dan sakit di kampung Tenembak, Rumah Murah Kampung Kenangka dan turut menyampaikan bantuan bakul makanan di Pusat Daerah Mengundi Palu-Palu.

Advertisement