Anda di sini

Seri dengan JDT bonus : James

Advertisement
 James (empat kiri) bersama Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan (tiga kiri) serta pegawai-pegawai SAFA dan Sabah FC selepas menyaksikan pemain-pemain menjalani latihan di Stadium Likas, baru-baru ini.
SAKSI LATIHAN: James (empat kiri) bersama Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan (tiga kiri) serta pegawai-pegawai SAFA dan Sabah FC selepas menyaksikan pemain-pemain menjalani latihan di Stadium Likas, baru-baru ini.



KOTA KINABALU: Bekas pemain kebangsaan, Datuk James Wong berkata, pemain-pemain Sabah FC masih mempunyai masa memperbaiki persembahan mereka sebelum melayan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Likas pada 29 Oktober ini.


Katanya, perlawanan ini penting apa lagi menentang pasukan terkuat dalam Liga Super dan pemain-pemain tuan rumah perlu memiliki ketahanan fizikal dan mental serta tahap kecergasan yang baik.


"Kita tahu ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee melakukan persiapan sebaik mungkin untuk berhadapan dengan JDT namun semuanya bergantung dengan prestasi pemain-pemain ketika beraksi di dalam padang," katanya di sini.


Lagenda bola sepak Sabah itu berkata, keupayaan dan kesungguhan pemain-pemain menghadapi lawan akan menentukan keputusan dalam perlawanan ketiga mereka itu.


"Jika Sabah FC mampu seri dengan pasukan berpengalaman itu, ia merupakan satu 'bonus' kepada pasukan tuan rumah," katanya sambil menambah bahawa dalam bola sepak, apa juga boleh berlaku.


Menurutnya, pemain-pemain harus memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri di samping memastikan tahap kecergasan mereka mampu bersaing hingga ke penghujung permainan.


Tahap kecergasan pemain-pemain Sabah FC semakin meningkat sekarang dan ini jika ditambah dengan kesungguhan serta semangat membara di dada mereka boleh membantu menghasilkan keputusan permainan lebih baik, ujar James.


Beliau menambah, khidmat pemain-pemain muda yang lebih tenaga mungkin boleh digunakan untuk bergandingan dengan pemain-pemain lebih berpengalaman dalam pasukan untuk memberi saingan kepada pasukan lawan.


Katanya, pemain-pemain muda boleh menimba sesuatu yang berguna dari rakan-rakan mereka yang lebih senior serta mendapat pendedahan untuk menghadapi perlawanan dengan pasukan kuat seperti JDT.


"Kita berharap pemain-pemain Sabah sudah mengubah sikap mereka sebelum ini dan mempunyai semangat tinggi ketika beraksi di padang," katanya.
 

Advertisement