Anda di sini

Bung saran belia aktif riadah demi melahirkan pelapis berkualiti

Advertisement
 Bung (tengah) bersama Jafry, Bandy, Abdul Aziz dan sebahagian Ketua-Ketua Pemuda yang hadir menunjukan isyarat bagus selepas majlis penyerahan tersebut.
SIMBOLIK: Bung (tengah) bersama Jafry, Bandy, Abdul Aziz dan sebahagian Ketua-Ketua Pemuda yang hadir menunjukan isyarat bagus selepas majlis penyerahan tersebut.



KOTA KINABALU: Golongan belia di negeri ini disaran mengamalkan budaya hidup sihat agar dapat menjadi generasi yang berkualiti yang secara tidak langsung dapat membantu pembangunan serta kesejahteraan negara.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, untuk memacu pembangunan, negara perlu memiliki generasi muda sebagai pemimpin pelapis yang berkualiti sihat dari segi minda dan fizikal.


“Selain meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran generasi muda hari ini perlu terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, sukan dan aktiviti riadah yang lain bagi mempersiapkan belia sebagai pemimpin pelapis negara yang memiliki kualiti sama ada pendidikan minda dan fizikal,” katanya ketika berucap dalam majlis ringkas penyerahan 50 buah basikal sumbangan Kementerian Belia dan Sukan kepada pergerakan Pemuda dan Puteri Umno di sini semalam.


Hadir sama Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafry Ariffin; Pembantu Menteri Belia dan Sukan Andi Muhammad Suryady Bandy; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah Ir Abdul Aziz Julkarnain dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Sabah Datuk Dr. Fadilah Sarbi.


Sehubungan itu, Bung yang juga Ketua Umno Sabah itu berharap agar Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno diseluruh bahagian di negeri ini dapat mengatur serta melaksanakan pelbagai program riadah kepada golongan belia sebagai platfrom untuk mendekati golongan berkenaan.


Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, penglibatan golongan belia dalam aktiviti sihat penting sebagai salah satu usaha mengelakkan mereka terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah dan masalah sosial lain yang boleh menjejaskan masa depan mereka.


“Kita jangan lupa mereka juga merupakan bakal pengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang. Justeru pendekatan yang sesuai kepada golongan ini perlu dilakukan antaranya melalui  program-program riadah atau penganjuran pelbagai jenis sukan kepada golongan ini,” katanya.


Dalam perkembangan yang sama Bung mengesa golongan belia di negeri ini melibatkan diri dalam kegiatan persatuan atau kelab sukan di sekitar kawasan masing-masing.


Menurut beliau penglibatan belia dalam aktiviti berpersatuan mampu mendidik mereka bergaul dan bertukar-tukar pandangan untuk memajukan golongan belia di kawasan masing-masing melalui beberapa bidang yang sesuai dengan minat mereka.


“Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan, kemudahan dan program-program kepimpinan keusahawan dan lain-lain yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement