Anda di sini

TH peruntuk RM36 juta untuk sumbangan golongan terjejas COVID-19 sejak Mac 2020

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KOTA BHARU: Lembaga Tabung Haji (TH) telah memperuntukkan kira-kira RM36 juta bagi menyalurkan sumbangan kepada golongan terjejas akibat pandemik COVID-19 di seluruh negara, sejak Mac tahun lepas hingga kini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata dianggarkan kira-kira RM19 juta diperuntukkan kepada golongan terjejas tahun lepas manakala kira-kira RM17 juta telah dibelanjakan tahun ini.

Beliau berkata peruntukan tersebut memanfaatkan seramai 100,000 penerima dalam kalangan asnaf menerusi pemberian barangan keperluan, wang tunai dan pek makanan.

"Bantuan itu merupakan usaha TH dalam mendekati dan menyantuni golongan asnaf yang terjejas kerana majoriti pendeposit TH adalah dalam kalangan dhuafa atau kurang mampu.

“Maka amat sesuai kita kembalikan semula sebahagian ini untuk menyantuni mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik sumbangan bank makanan kering kepada 50 daripada 3,000 penerima asnaf di TH Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah TH Wilayah Timur Datuk Mohyen Mosman, Pengarah TH Kelantan Ashrof Shamsuddin dan Pengerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Hasanuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata seramai 9,000 penerima di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Sabah dipilih sebagai penerima sumbangan berkenaan bulan ini dengan membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM900,000.

"Bagi negeri lain pula, kerja penyediaan, pembungkusan dan penghantaran secara terus ke rumah akan dibuat oleh rakan strategik TH iaitu Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang amat terjejas akibat COVID-19," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement