Anda di sini

RM1 juta peruntukan manfaatkan 300 peserta Program Kebuniti Parlimen Beluran 

Advertisement
 Ronald (dua kiri) menyampaikan insentif Program Kebuniti kepada salah satu komuniti tani di Telupid pada majlis itu.
KEBUNITI: Ronald (dua kiri) menyampaikan insentif Program Kebuniti kepada salah satu komuniti tani di Telupid pada majlis itu.

TELUPID: Seramai 300 peserta membabitkan 37 komuniti tani golongan B40 dari pelbagai kampung di kawasan Telupid, Sugut dan Labuk di sini menerima manfaat menerusi peruntukan berjumlah RM1 juta untuk Program Kebuniti.

Peruntukan yang disediakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) khusus untuk pekebun di Parlimen Beluran itu bukan sahaja membantu masyarakat mengurangkan kos sara hidup terutama yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Malah, ia turut memberi manfaat dari aspek ekonomi, sosial dan persekitaran setempat selain menjana peluang pekerjaan serta menyokong keperluan makanan penduduk bandar dan luar bandar. 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, secara keseluruhannya, sejak 2014 hingga 2020, sebanyak RM28.82 juta diperuntukkan untuk Program Pertanian Bandar atau Kebuniti termasuk RM10 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tahun lepas yang memberi manfaat kepada kira-kira 165,207 orang di seluruh negara. 

"Sehubungan itu, tahun ini kerajaan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta selain peruntukan tahunan sebanyak RM4.5 juta untuk Program Kebuniti.

"Peruntukan yang disediakan ini memberi manfaat kepada seramai 39,608 orang melibatkan 25,775 lokasi di seluruh negara. Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk Program Kebuniti setakat ini adalah sebanyak RM63.32 juta," katanya. 

Beliau berkata demikian sempena Program Sentuhan Kasih Tani Bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan di sini hari ini.

Menurutnya, Program Kebuniti turut mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat bandar dan luar bandar untuk mengusahakan tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran.

Katanya, ia melibatkan bantuan seperti pasu, benih, baja, peralatan tanaman, dan khidmat nasihat.

"Kerajaan berharap, program ini akan terus memberi manfaat kepada golongan sasar, bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan antara penduduk malah membantu meringankan beban keluarga dan mewujudkan peluang pekerjaan ketika menghadapi pandemik COVID-19.

"Selain itu, MAFI turut memperkenalkan Program Pertanian Organik tahun ini yang bertujuan mengeluar dan meningkatkan hasil pertanian ke arah makanan yang selamat untuk dimakan dan mesra alam. 

"Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta kepada MAFI yang disalurkan kepada pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI," jelasnya.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) menerima peruntukan berjumlah RM10 juta dan menyalurkan RM500,000 kepada Jabatan Pertanian Negeri Sabah untuk pelaksanaan Program Pertanian Organik di Sabah. 

Menurutnya, di daerah Beluran, sebanyak 27 komuniti dengan penglibatan seramai 83 peserta dengan keluasan 33 hektar tanah menerima manfaat di bawah Program Pertanian Organik. 

Dalam pada itu katanya, Program Sentuhan Kasih Tani berkenaan untuk menyampaikan insentif dan 'touch point' MAFI melalui Program Kebuniti dan Program Pertanian Organik kepada komuniti tani di Parlimen Beluran yang sudah dikenal pasti.

Ronald berkata, Program Sentuhan Kasih Tani juga antara platform terbaik MAFI untuk merasai denyut nadi rakyat dalam membantu kumpulan sasar merasai kesan positif daripada limpahan ekonomi pertanian melalui projek pembangunan berimpak tinggi. 

"Saya menyeru kepada para penerima insentif melalui komuniti yang dikenal pasti di Beluran supaya melaksanakan program pertanian dengan sebaik mungkin melalui bimbingan dan nasihat daripada jabatan atau agensi di bawah MAFI dan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah.

"Usaha ini sekali gus dapat menghasilkan makanan sendiri, selamat, berkualiti dan dapat mengurangkan kos sara hidup selain menjana pendapatan yang lebih tinggi," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement