Anda di sini

Pusat 'Bitcoin' jana keuntungan RM23,000 sebulan lumpuh

Advertisement
Pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan.
Pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan.

KUCHING: Sebuah pusat operasi melombong 'Bitcoin' di Muara Tabuan, di sini dilumpuhkan selepas disyaki beroperasi secara haram pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak Februari tahun ini dengan menjadikan sebuah rumah kedai sebagai pusat operasi.

Kegiatan tersebut terbongkar selepas Sarawak Energy Berhad (SEB) mengesan berlaku kecurian bekalan elektrik di kawasan tersebut.

"Susulan itu, satu serbuan dilakukan sekitar jam 10 pagi (semalam) dan hasil siasatan mendapati premis tersebut telah beroperasi selama lapan bulan dengan jumlah kasar keuntungan sekitar RM23,000 sebulan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pasukan serbuan turut menahan dua suspek warga tempatan  berusia 24 dan 44 tahun disyaki penjaga premis tersebut.

"Polis sedang berusaha mengesan  pemilik sebenar premis yang kini masih bebas," katanya.

Selain itu, pasukan serbuan juga bertindak merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk kegiatan melombong bitcoin tersebut.

Antaranya ialah komputer, 90 unit mesin bitcoin, router dan modem.

Kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik Sarawak.

Kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika disabitkan kesalahan.
 

  • oleh
  • Advertisement