Anda di sini

Pemain, kakitangan Selangor FC jalani ujian antibodi ImmuSAFE

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), RZAC ImmuneSAFE Sdn Bhd dan Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) bekerjasama melaksanakan ujian antibodi ImmuSAFE untuk para pemain dan kakitangan  pengurusan SFC menggunakan kit ImmuSAFE.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii Datuk Ts Madani Sahari berkata kerjasama itu membawa dimensi baharu kepada industri sukan tanah air apabila aktviti sukan secara bersentuhan kini boleh dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan teratur seiring dengan ujian serologi COVID-19.

Beliau berkata bahawa ujian antibodi ImmuSAFE adalah ujian serologi kuantitatif yang boleh menentukan tahap antibodi pelindung pada individu, selepas jangkitan atau selepas vaksinasi.

"Keputusan ujian ini penting dalam menentukan keberkesanan vaksin, mahupun keperluan untuk mendapatkan dos penggalak.

“Bagi SFC, usaha ini akan membantu pengawalan dan pengurusan gelembung pemain di bawah Kelab, setelah setiap pemain dan kakitangan menerima keputusan ujian antibodi ImmuSAFE tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Seramai 80 pemain dan kakitangan SFC hadiri pada sesi ujian antibodi ImmuSAFE di Pusat Latihan FAS, Shah Alam, Selangor semalam termasuk Ketua Pegawai Eksekutif SFC Dr Johan Kamal Hamidon.

Sementara itu Johan berkata melalui ImmuSAFE, pengurusan program vaksinasi untuk pemain dan pegawai Selangor menjadi lebih sistematik dan pemain juga akan berasa lebih yakin mengenai tahap perlindungan antibodi semasa latihan kontak dan perlawanan bola sepak.

“Kami berterima kasih kepada MARii dan RZAC kerana memberikan kami akses kepada penggunaan teknologi baharu agar sukan bola sepak tanah air dapat diteruskan semasa pandemik ini”, katanya.

Pengarah  Pengarah RZAC Datuk Sri Rayyan Joseph King berkata penerimaan ImmuSAFE di dalam industri sukan menunjukkan bahawa penggunaan ujian antibodi ImmuSAFE adalah universal dan dapat menambah baik usaha sedia ada dalam melawan wabak COVID-19

ImmuSAFE, yang dilancarkan pada September 2020 merupakan kit ujian serologi (ujian serum darah) pertama di dunia untuk mengesan kehadiran antibodi berkaitan sembilan domain virus SARS-CoV-2 yang berbeza.

Keputusan ujian ImmuSAFE memberikan maklumat mengenai faktor risiko keberjangkitan dan juga kehadiran antibodi pelindung terhadap Covid-19 pada individu bergejala dan tidak bergejala

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai ImmuSAFE, sila hubungi [email protected] atau layari www.immusafe.my. - BERNAMA
 

Advertisement