Anda di sini

Pantau aktiviti angkut tanah, elak kemalangan

Advertisement
 

LIMBANG: Terdapat pihak pengangkut tanah yang membiarkan tanah jatuh ke jalan raya tanpa dibersihkan sehingga mengundang kemalangan dan menjejaskan keselamatan pengguna jalan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail (gambar) berkata masalah itu perlu dipantau agensi kerajaan bertanggungjawab seperti Pejabat Residen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi mengelak insiden buruk berlaku.

Kata beliau lagi pada masa ini banyak projek sedang berjalan dan kerja mengangkut tanah dari tempat lain ke kawasan projek giat dilakukan.

“Kerja mengangkut tanah sama ada dalam kapasiti besar dan tidak ditutup menyebabkan tanah jatuh ke jalan raya dan mereka tidak ambil peduli sehingga boleh mengakibatkan keadaan jalan raya tidak selamat kepada pengguna jalan.

“Oleh itu, agensi kerajaan bertanggungjawab perlu  memantau keadaan ini terutama Pejabat Residen, JPJ, JTS sekaligus memastikan bahawa mereka yang mengangkut tanah tidak membiarkan tanah jatuh ke jalan raya,”katanya kepada media hari ini.

Masalah longgokan tanah ini katanya juga akan menyebabkan keadaan jalan berhabuk dan berdebu ketika cuaca panas sekarang dan licin ketika cuaca hujan.

Masalah longgokan tanah dan pasir di kawasan jalan raya menimbulkan rungutan pengguna jalan di bandar ini sehingga mengundang kemalangan kerana tidak menyedari wujudnya longgokan pasir akibat jalan berdebu.

Kegusaran mengenai masalah sama turut disuarakan  lebih 100 penduduk Kampung Pengkalan Rejab di sini yang berdepan masalah debu dan habuk, akibat longgokan pasir dan batu yang tidak dibersihkan dijalan yang merupakan laluan utama ke bandar dan sekolah berhampiran.

Dalam perkembangan lain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang  mengumumkan Belanjawan Sarawak 2022 berjumlah RM10.136 bilion sekali gus memberi tumpuan membantu rakyat dalam situasi kesan daripada pandemik COVID-19.

“Belanjawan ini seperti Belanjawan 2021 tetapi kali  ini tumpuan lebih kepada bantuan.

“Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) mendapat RM132 juta  untuk pembangunan aktiviti pertanian dan peternakan, selain bajet tambahan untuk membina kemudahan pertanian,”katanya.

Jelasnya pertanian  merupakan  teras utama dalam bajet kali ini dan sektor pertanian  akan memberi pulangan kepada pendapatan negeri, pada masa depan.

“Kita gembira sektor pertanian terus diberi tumpuan, khusus di Limbang dan aktiviti utama rakyat adalah sektor ini yang akan diperkasa dari semasa ke semasa,”ujarnya.

Kata beliau banyak program pertanian dikenal pasti dan  dalam  pembinaan seperti Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran (CPPC), Taman kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kubong, pertanian berkelompok bagi  tanaman nanas, durian, nangka madu, selain  potensi Limbang untuk penanaman padi.
 

  • oleh
  • Advertisement