Anda di sini

MAFI bantu baik pulih rumah nelayan di seluruh negara

Advertisement
Ronald (kanan) meletakkan plak sebagai simbolik rumah baharu yang dibina di bawah PKPN untuk nelayan di Beluran.
Ronald (kanan) meletakkan plak sebagai simbolik rumah baharu yang dibina di bawah PKPN untuk nelayan di Beluran.

PERTANIAN dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan sebanyak RM6.43 juta untuk baik pulih rumah dan pembinaan rumah baharu nelayan di seluruh negara.

Peruntukan berkenaan dilaksanakan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).

Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.45 juta diperuntukkan untuk bantuan baik pulih rumah nelayan di Sabah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee baru-baru ini berkesempatan turun padang bagi menjayakan program ‘walkabout’ bagi melawat rumah peserta PKPN di Kampung Kolapis dekat sini.

Rumah peserta PKPN yang dilawati Ronald itu adalah sebahagian daripada 200 rumah nelayan yang sedang dibaik pulih di kawasan berkenaan.

Projek PKPN yang dilaksanakan oleh LKIM bagi membantu nelayan berpendapatan rendah untuk membaik pulih rumah dan membina rumah baharu.

Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kesejahteraan hidup golongan nelayan khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

Secara keseluruhan, selain PKPN, MAFI melalui LKIM turut memperuntukkan lebih RM150 juta tahun ini bagi bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara yang merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 setiap bulan, Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kotan, bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan, dan Program Bakul Makanan Nelayan.

Tahun ini juga, LKIM menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk pembelian bangunan pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran dan RM300,000 untuk pembinaan kilang ais batu di Kampung Keramat Beluran.

Kilang berkenaan bagi penyimpanan hasil tangkapan perikanan dan pemasaran ikan yang akan memberi manfaat kepada 2,783 nelayan di kawasan berkenaan.

PNK Beluran turut menerima peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Dana Khas PNK iaitu antara inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi menjalankan perniagaan jualan ais batu.

Seramai 50 nelayan di kawasan Beluran turut mendapat bantuan dan insentif secara ‘one-off’ di bawah Projek Ta- naman Kontan dengan peruntukan berjumlah RM100,000.

LKIM turut melaksanakan Program Pembangunan Pelan Peningkatan Pendapatan Golongan B40 Nelayan melalui Projek Tanaman Kontan untuk memberi pendapatan sampingan kepada golongan nelayan melalui bantuan input pertanian yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4
juta dengan sasaran peserta sejumlah 3,006 nelayan.

Bagi mengurangkan beban para nelayan yang terkesan dengan pandemik COVID-19, Ronald semasa lawatan itu menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 100 ahli nelayan PNK Beluran sebagai sebahagian sumbangan MAFI Prihatin menerusi LKIM bersama-sama PNK.

Pada masa sama, Ronald turut menyerahkan kad pendaftaran nelayan Jabatan Perikanan kepada dua nelayan di Pulau Jambongan Beluran yang mempunyai seramai 106 penerima dan dua kad pengusaha perikanan kepada dua pengusaha yang juga antara 265 penerima di Beluran.

LKIM akan terus memainkan peranan sebagai agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa termasuk dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ronald(duakanan)menyampaikanbantuanbakulmakanankepadasalahseorang penerima sempena dengan program lawatan itu. Turut kelihatan Badrul (kanan).
Ronald(duakanan)menyampaikanbantuanbakulmakanankepadasalahseorang penerima sempena dengan program lawatan itu. Turut kelihatan Badrul (kanan).

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah LKIM Yusoff Othman, Pengarah LKIM Sabah Sundralingam
Nagaiah dan Pengerusi PNK Beluran Uting Rahmat.

Rombongan MAFI sebelum itu turut melawat Pusat Pengumpulan Sarang Burung Walet di sini.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran Sumarang Chunbung berkata, aktiviti memproses sarang burung walet akan dijalankan di pusat pengumpulan itu sebaik pihaknya menerima mesin pemprosesan.

Pihaknya berharap, mesin berkenaan akan diterima bulan ini supaya aktiviti memproses sarang burung dapat dijalankan.

Menurutnya, Beluran mempunyai jumlah rumah burung walet yang besar iaitu sebanyak 850 berdaftar dengan PPK melibatkan hasil pengeluaran sekitar 5,000 kilogram setiap tahun.

“Secara keseluruhan, terdapat sebanyak 1,180 rumah burung walet di Sabah dengan jumlah pengeluaran sebanyak 8,150 kilogram sarang setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat kepada rombongan MAFI yang turut dihadiri Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan MAFI Khalid Ibrahim.

Sumarang berkata, terdapat 400 pengusaha rumah burung walet di Beluran dan hasil sarang burung daripada pengusaha berkenaan dibeli oleh PPK.

Menurutnya, pusat pengumpulan berkenaan juga merancang untuk menjalankan kegiatan hiliran berasaskan sarang burung walet untuk eksport, industri tempatan serta mempromosikan pelancongan tempatan dan asing berdasarkan agropelancongan burung walet.

Pada masa sama katanya, PPK juga merancang untuk melatih dan menghasilkan 100 peladang sarang burung walet yang baharu.

Daerah Beluran juga terpilih untuk melaksanakan projek perintis bagi penanaman nanas jenis MD2 yang akan dijalankan di Kampung Rungus Baru di sini.

Salah seorang peladang yang terlibat, Aneh Jamri berjaya menanam sebanyak 4,500 nanas MD2 di tanah seluas empat ekar sejak tahun lalu.

“Hanya 2,000 tanaman yang berhasil dan usaha ini bergantung kepada penjagaan, topografi dan jenis tanah. Kajian terperinci perlu dibuat untuk melihat bagaimana menghasilkan tanaman nanas yang lebih baik,” katanya.

Pegawai Pertanian Daerah Beluran dan Telupid Ahmad Kandung berkata, di Beluran tidak terdapat mesin pembajak tanah dan alat berkenaan penting dalam mengusahakan tanah untuk penanaman nanas.

Justeru, pihaknya memohon agarMAFIdapatmenyediakan mesin peralatan yang lengkap untuk menjayakan usaha penanaman di kawasan ini.

Beliau berkata, keadaan tanah di daerah ini yang liat antara cabaran lain bagi petani untuk menjalankan penanaman nanas memandangkan mereka tidak memiliki teknologi hormon.

Sementara itu, Badrul semasa sesi perbincangan Pelan Pembangunan Pertanian Daerah Beluran (2021-2025) menjelaskan, objektif lawatan itu adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai peranan MAFI dalam menyediakan peluang kepada masyarakat yang memberikan kesan segera kepada rakyat.

“Rakyat Sabah beruntung kerana mendapat kementerian yang paling penting,” katanya.

Beliau turut mengingatkan banyak yang tidak menyedari kepentingan keselamatan makanan dan negara Singapura lebih baik dari Malaysia dalam aspek berkenaan.

“Singapura adalah salah satu daripada 10 negara teratas dari segi keselamatan makanan dan sanggup membuat pelaburan di mana sahaja sedangkan Malaysia hidup dalam keseronokan.

“Tetapi suatu hari nanti apabila tidak ada lagi yang mahu berurusan dengan kita, masa itulah kita tahu pentingnya makanan,” katanya.

Badrul turut menyifatkan Ronald sebagai seorang menteri yang berfikiran ke hadapan dengan meletakkan keselamatan makanan sebagai agenda nasional.

Sehubungan itu, beliau menganggap rakyat Sabah sangat beruntung kerana mempunyai menteri MAFI.

Dalam pada itu katanya, Sabah ketika ini masih terlalu bergantung kepada pihak luar untuk bekalan beras dan hanya menghasilkan 30 peratus keperluan beras di negeri ini, manakala selebihnya masih memerlukan beras import.

Menurutnya, masih banyak peluang untuk mengomersialkan pertanian agromakanan di Sabah dan salah satu tujuan lawatan ke Beluran adalah untuk mencari keluarga MAFI di daerah ini yang dapat difokuskan untuk berkembang sebagai model pertanian dan seterusnya dikembangkan ke daerah lain.
 

Advertisement