Anda di sini

Lapan lelaki asing didakwa miliki minyak masak secara borong tanpa lesen

Advertisement
 

KUALA KUBU BHARU: Tujuh lelaki warganegara Myanmar dan seorang warganegara Thailand mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memiliki barang kawalan berjadual iaitu 25,200 kilogram minyak masak secara borong tanpa lesen sah, empat hari lepas.

Tujuh warganegara Myanmar itu, Shofi Habi Ullah, Adumujib Ismail, Mohammad Ali Ali Ahmad, Hamid Hussein Nobi Husson, Abdul Mubarik Abdul Malik, Nor Hamod Basir Ahmed dan Mohammad Ali Harun Ali serta warganegara Thailand, Doloh Cheloh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 November ini untuk jatuh hukum.

Kesemua mereka didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas telah ada dalam kawalan mereka barangan berjadual iaitu 25,200 kilogram minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen di sebuah premis tanpa nama di Bandar Bukit Beruntung, Rawang di sini, 11 Okt lepas.

Kesemuanya yang berumur antara 18 dan 45 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya hendaklah didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada tarikh dan masa kejadian, pengadu bersama-sama sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya telah membuat serbuan di tempat kejadian.

Hasil serbuan menemukan lapan warga asing bersama cecair yang dipercayai minyak masak dan peralatan-peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Pihak berkuasa kemudian menahan kesemua suspek dan menyita 25,200 kilogram minyak masak serta peralatan-peralatan yang digunakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Nor Alimah Mohd Sanusi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA
 

Advertisement