Anda di sini

Jumlah pesakit kategori kritikal berkurang bukti keberkesanan pengambilan vaksin

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Rekod yang menunjukkan jumlah pesakit bagi kategori kritikal yang semakin berkurang membuktikan keberkesanan pengambilan vaksin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata daripada keseluruhan 639 kes baharu di Sabah semalam, hanya dua pesakit yang dikategorikan pada tahap lima.

“Keberkesanan pengambilan vaksin dapat dilihat daripada kategori pesakit yang dilaporkan setiap hari, individu yang lengkap menerima suntikan vaksin memiliki imuniti yang lebih tinggi dan rekod menunujukkan golongan ini hanya akan berada dalam kategori pesakit satu dan dua jika dijangkiti COVID-19.

“Hanya dua pesakit bagi kategori lima diikuti lima pesakit dalam kategori empat dan kesemua tujuh yang direkodkan ini dalam kalangan pesakit memerlukan penjagaan rapi kesan jangkitan virus COVID-19, pada masa sama  mereka juga berkemungkinan mengalami penyakit lain atau belum menerima vaksin,” katanya.

Tambahnya kategori tiga juga merekodkan hanya tiga pesakit manakala 546 orang dalam kategori dua dan 56 orang dalam Kategori satu.

“Pesakit bagi kategori satu lazimmya tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan (asymptomatic) dan pesakit bagi kategori dua hanya mengalami simptom ringan seperti batuk, demam atau selesema,” katanya.

Masidi bagaimanapun berkata walaupun kes semalam lebih rendah daripada hari sebelumnya dengan penurunan sebanyak 81 peratus, namun Sabah mencatatkan kes sporadik yang meningkat.

“Peratusan kes yang dianggap kes sporadik semakin meninggi dengan mencecah sehingga 39 peratus dan biasanya kes ini berlaku disebabkan kelalaian tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa bergaul atau berada di khalayak ramai. 

“Peralihan Sabah ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Nasional yang membenarkan lebih banyak aktiviti sosial dan ekonomi sangat dikhuathiri dan berkemungkinan akan meningkatkan risiko jangkitan virus secara sporadik.

“Oleh itu saya harapkan masyarakat akan lebih bertanggungjawab dalam mematuhi semua SOP bagi mengelakkan lebih banyak jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Tambahnya  pembukaan semula sempadan daerah dan peralihan Sabah ke Fasa 3 PPN meletakkan tanggungjawab terhadap setiap individu sebagai benteng barisan hadapan dalam usaha membenteras virus ini.

Dalam pada itu Masidi berkata 55 peratus bersamaan 350 kes baharu semalam adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam lalu. 

Katanya kes selebihnya adalah bagi kes yang lewat didaftar sekurang-kurangnya dua hari selepas keputusan saringan diketahui. 

“Antara daerah yang terlibat ialah Kota Kinabalu yang mencatatkan 76 kes lewat didaftar dua hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui, diikuti Penampang 44 kes, Kota Belud 49 kes dan Papar 21.

“Tongod tidak mencatatkan sebarang kes baharu dan tiada kluster baharu turut dicatat,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement