Anda di sini

Jawatankuasa ditubuh tangani isu buli siber, jenayah seksual terhadap kanak-kanak

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu Kanak-Kanak Dalam Talian bagi menangani buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun (gambar) berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah selari dengan komitmen Malaysia berpandukan Artikel 34 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) iaitu melindungi golongan tersebut daripada eksploitasi dan penderaan seksual.

“Malaysia mempunyai obligasi untuk mematuhi prinsip dan peruntukan yang termaktub dalam CRC terutama berkaitan hak kanak-kanak termasuk kelangsungan hidup, perlindungan, pembangunan serta penyertaan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu, yang ditubuhkan pada 15 Jun lepas dan dianggotai pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan serta aktivis sosial, turut berperanan membincangkan langkah advokasi dan intervensi bersesuaian berhubung isu tersebut.

"Kita ada bincangkan kaedah menangani isu ini (buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak) dan antara (aktiviti) yang akan dijalankan adalah kempen advokasi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2021 bertemakan ‘Anak Kita, Masa Depan Kita’ di sini hari ini.

Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober sejak 1959. Malaysia mula meraikan sambutan itu pada 1960 selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkannya sebagai hari persaudaraan sejagat dan kefahaman dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.

Rina juga berkata KPWKM sedang merangka Indeks Perkembangan Kanak-Kanak Kebangsaan yang akan diperkenal tidak lama lagi sebagai kaedah menambah baik dasar berkaitan perkembangan biologi dan psikologi golongan itu.

Beliau berkata Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kira-kira 9.69 juta atau 29.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia setakat Mei 2021 adalah kanak-kanak.

“Mengambil kira jumlah tersebut yang begitu besar, KPWKM dalam semangat Keluarga Malaysia terus komited menjamin kesejahteraan kanak-kanak demi kepentingan terbaik golongan itu,” katanya.

Penerima anugerah Pingat Hang Tuah, Muhammad Hadif Syazwan Anas, 11, pula melahirkan perasaan bangga dengan pengiktirafan yang diberikan atas keberanian beliau menyelamatkan moyangnya Kalsom Abdullah, 85, yang hanyut dibawa arus ketika banjir di Yan, Kedah pada 18 Ogos lepas. - BERNAMA
 

Advertisement