Anda di sini

FLM2021 sasar tingkatkan kesedaran kewangan rakyat Malaysia

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Bulan Literasi Kewangan 2021 (FLM2021), yang berlangsung dari 1-31 Oktober, 2021, disasarkan kepada pelbagai lapisan rakyat Malaysia dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran kewangan, menyediakan pendidikan dan nasihat kewangan, selain memelihara kesejahteraan kewangan mereka. 

Penganjurnya, Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), berkata FLM2021 menampilkan pelbagai program seperti webinar, peraduan, ruangan maklumat maya untuk kanak-kanak, pelajar, belia, orang dewasa, golongan pesara serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

FLM2021 akan diakhiri dengan acara kemuncak literasi kewangan selama tiga hari secara maya dari 29 hingga 31 Oktober 2021.

Menurut FEN, tarikan utama acara ini termasuklah Klinik Khidmat Nasihat Kewangan secara maya yang mengumpulkan 22 bank di bawah satu platform maya memberi peluang kepada rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang sedang menghadapi masalah kewangan, untuk mengadakan pertemuan maya secara bersemuka dengan bank mereka.

Tarikan lain ialah Pameran Secara Maya oleh ahli FEN serta rakan strategiknya orang ramai boleh mengakses maklumat dan berbual dengan staf yang sedia memberikan bantuan khidmat nasihat mengenai pengurusan kewangan, e-pembayaran, insurans dan takaful, pelaburan, penipuan kewangan serta perancangan persaraan.

Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata pengurusan kewangan dan pelaburan yang utuh menjadi semakin penting pada masa ini, terutamanya apabila mempelajari daripada pandemik yang melanda. 

“FLM2021 memenuhi keperluan individu untuk lebih peka dan berupaya mengurus wang mereka dengan bijak, merancang lebih awal dan melabur untuk masa depan mereka.

“Sesungguhnya, usaha mencapai kesejahteraan kewangan bermula dengan kesedaran untuk membuat keputusan yang tepat dan berhemat,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement