Anda di sini

Buka semula perkhidmatan feri Limbang-Labuan 

Advertisement
Dr Abdul Rahman (lima kiri), Wong menyerahkan bakul makanan kepada salah seorang penerima hari ini.
Dr Abdul Rahman (lima kiri), Wong menyerahkan bakul makanan kepada salah seorang penerima hari ini.

LIMBANG: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) diharap mempertimbangkan keputusan untuk membuka semula perkhidmatan pengangkutan feri dari Limbang-Labuan memandangkan ramai anak-anak tempatan yang belajar di pulau bebas cukai itu.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata selain pengangkutan udara yang disifatkan agak mahal, Limbang amat bergantung  kepada pengangkutan air dan laut menggunakan feri sama ada ke Labuan mahupun ke daerah Lawas.

Langkah itu amat perlu katanya memandangkan ramai anak-anak tempatan yang belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan kolej kemahiran di Labuan.

“Saya amat berharap JPBNS akan melihat perkara ini, universiti  sudah  mula dibuka, pengangkutan kita hendak ke Labuan cuma menggunakan feri, dan jika menggunakan kapal terbang terpaksa melalui penerbangan Labuan- Miri, yang agak mahal.

“Pengangkutan feri dari Limbang-Labuan dan Lawas-Labuan perlu diaktifkan semula terutama keperluan untuk anak-anak belajar,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu lagi, kekerapan penerbangan ke Sarawak telah ditambah bagi menyokong pemulihan ekonomi dan pembukaan semula sektor pelancongan.

Bagaimanapun, katanya beliau optimis Sarawak melalui JPBNS akan memperkemaskan lagi garis panduan (SOP) untuk orang Sarawak yang berada di Semenanjung memasuki negeri ini dari semasa ke semasa.

“Boleh dicadangkan terutama  orang Sarawak di Semenanjung  diberi kelonggaran untuk memasuki  negeri ini,” katanya.

Terdahulu Dr Abdul Rahman turut menyerahkan bantuan Bakul Makanan Merdeka, 2021 sumbangan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Limbang.

Seramai 100 bakul makanan diserahkan kepada 100 penerima membabitkan golongan memerlukan seperti warga emas, ibu tunggal dan mereka yang susah dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM10,000.

Bantuan berkenaan katanya bukti jelas keprihatinan kerajaan bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Turut sama Timbalan Pengerusi PBSM Daerah Limbang  Wong Ku Hai dan jawatankuasa tertinggi lain.

  • oleh
  • Advertisement