Anda di sini

1.92 juta ekar tanah di Sarawak diwartakan di bawah Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu

Advertisement
Awang Tengah (tiga kiri) bersama Noroden (empat kiri) serta tetamu jemputan lain merakam kenangan selepas  Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN (Kanun Tanah Negeri) dan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian dan Kediaman) di Dewan Masyarakat MDS Gedong di Simunjan.
Awang Tengah (tiga kiri) bersama Noroden (empat kiri) serta tetamu jemputan lain merakam kenangan selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN (Kanun Tanah Negeri) dan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian dan Kediaman) di Dewan Masyarakat MDS Gedong di Simunjan.

KUCHING:  Lebih kurang  1,005,765 hektar atau 2.48 juta ekar tanah telah berjaya disukat secara perimeter oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) di negeri ini dibawah Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu sejak 2010 hingga kini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah tersebut seluas 778,439 hektar atau 1.92 juta ekar telah pun diwartakan.
 
"Bayangkan betapa jauh perbezaan output penyukatan melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu (2010 hingga kini) berbanding program penyukatan lama (1960-2010).

"Ini adalah satu program penyukatan yang efisien dan sangat penting dalam menentukan persempadanan tanah hak adat Bumiputera  (NCR) yang jelas serta didaftarkan di dalam daftar tanah dan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN (Kanun Tanah Negeri) dan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian dan Kediaman) di Dewan Masyarakat MDS Gedong di Simunjan, hari ini.

Pada majlis berkenaan Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN bagi Kampung Gumpey dan Kampung Gedong kepada tujuh orang penerima.

Beliau berkata, selepas Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, maka langkah seterusnya adalah peringkat kedua. 

"Dalam peringkat ini, kita melaksanakan pengukuran secara lot individu berdasarkan permohonan yang diluluskan, kawasan tersebut telah pun disukat secara perimeter, diwartakan di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan kesediaan penuntut tanah NCR terbabit," katanya.

Beliau memberitahu setakat ini sebanyak 46,840 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 56,849 hektar (140,477 ekar) yang telah dan akan dikeluarkan surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 KTN. 

Sementara itu beliau berkataan pada hari ini kerajaan menyerahkan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN bagi Kawasan Kampung Gedong secara simbolik kepada 5 orang penerima.

Katanya lebih kurang 101 surat hakmilik tanah akan diserahkan kepada 90 orang penerima selepas selesai sahaja majlis ini bagi mematuhi SOP menangani penularan COVID-19 yang telah ditetapkan.

Mengenai Program Pengukuran Kampung Tradisional beliau memberitahu ia masih diteruskan bagi mengiktiraf kampung yang telah lama wujud sama ada di kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN (Kampung) mahupun belum diwartakan.

Setakat ini, sebanyak 55,849 lot kediaman daripada 360 buah kampung di seluruh Sarawak telah pun disukat, ujarnya.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak 52,146 lot telah dikeluarkan surat hak milik dan hari ini, saya akan menyerahkan surat hak milik tanah bagi Kampung Gumpey secara simbolik kepada lima orang penerima. 

"Lebih kurang 37 surat hak milik tanah akan diserahkan kepada 34 orang penerima selepas selesai majlis ini," katanya.

Pada majlis sama Awang Tengah turut melancarkan Skim Pembesaran Kampung Gedong Baru, Simunjan yang berkeluasan 25.22 hektar (61.09 ekar) dengan menawarkan kapasiti 287 lot.

Hadir sama majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.
 

  • oleh
  • Advertisement