Anda di sini

112 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM580,000

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia  (PDRM) mengeluarkan kompaun sebanyak RM580,000 kepada 112 orang pengunjung sebuah pusat hiburan di sini tengah malam tadi kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata pihaknya juga mengeluarkan kompaun sebanyak RM25,000 kepada pemilik premis hiburan berkenaan.

"Kompaun ini dikeluarkan Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 3 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 bagi Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata enam didapati positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

"Pihak polis juga telah merampas 43 botol minuman keras yang telah dibuka dan 37 botol masih belum dibuka mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1967.

"PDRM akan terus mempertingkatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan Wabak COVID-19 di negara kita," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement