Anda di sini

Wanita ditahan bersama 55.47 gram syabu di Skim Penempatan Telipok

Advertisement
 Syabu yang ditahan di dalam rumah milik suspek wanita di Skim Penempatan Telipok, di sini semalam.
RAMPAS: Syabu yang ditahan di dalam rumah milik suspek wanita di Skim Penempatan Telipok, di sini semalam.

KOTA KINABALU: Seorang wanita gagal melarikan diri sebaik ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 55.37 gram dalam serbuan Ops Sarang di Skim Penempatan Telipok, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata operasi bermula jam 7 pagi itu turut menahan 13 individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit.

“Semasa serbuan dilakukan pasukan polis mendapati suspek wanita yang berumur 58 tahun itu berada berseorangan di dalam rumah berkenaan sebelum pemeriksaan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan fizikal terhadap suspek tidak menemukan sebarang bahan terlarang yang menyalahi undang-undang.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu kemudiannya menemukan kotak memuatkan 14 paket lutsinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu,” katanya.

Tambahnya pasukan polis turut menemukan sembilan keratan penyedut minuman lutsinar pelbagai saiz yang setiap satu berisi ketulan hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu.

“Pasukan serbuan juga menemukan alat penyepit yang diubahsuai dan 10 plastik lutsinar kosong percayai bahan yang digunakan untuk membungkus dadah.

“Kesemua syabu yang dirampas dianggarkan seberat 55.37 gram itu bernilai RM5,537 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Suspek wanita terbabit kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

George berkata hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit mendakwa semua dadah berkenaan adalah milik anak tirinya.

"Selain itu, suspek turut didapati tidak terbabit dalam aktiviti penagihan dadah,” katanya.

Sementara itu beliau berkata Ops Sarang akan terus dilaksanakan bagi mengambil tindakan tegas terhadap pengedar dan penagih yang bergerak aktif di daerah ini.

Tambahnya pihak polis komited dalam membanteras penyalahgunaan dadah khususnya di daerah ini.

  • oleh
  • Advertisement