Anda di sini

UMS-SAU bakal jalin kerjasama pelbagai bidang

Advertisement
 Pengurusan tertinggi SAU ketika mengadakan perbincangan bersama FKI UMS secara dalam talian.
BERBINCANG: Pengurusan tertinggi SAU ketika mengadakan perbincangan bersama FKI UMS secara dalam talian.

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) bakal mengadakan kerjasama pelbagai bidang dengan Shenyang Aerospace University (SAU), China.

Menurut kenyataan FKI semalam, satu perbincangan awal antara kedua pihak telah diadakan baru-baru ini membabitkan kakitangan pengurusan tertinggi FKI dan SAU.

“Perbincangan bukan sahaja memfokuskan ruang kolaborasi FKI dengan College of Computer Science SAU, tetapi turut melihat potensi kerjasama dalam konteks yang lebih menyeluruh.

“Antara yang dibincangkan termasuklah program pertukaran pelajar dan pensyarah, penyeliaan bersama pelajar-pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD),  kerjasama penyelidikan, dan pelaksanaan program double degree antara kedua-dua universiti,”katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak SAU juga menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan fakulti yang mengkhususkan dalam bidang ekonomi di UMS.

“Perbincangan lebih lanjut berhubung hasrat kerjasama ini akan diadakan pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu.

Berlangsung secara dalam talian, perbincangan itu dihadiri Dekan Institute of International Education (IIE), Prof Madya Pearl Liu Ping; mantan Dekan FKI (kini Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS), Prof. Dr. Abdullah Gani; dan Timbalan Dekan Faculty of Computer Science (FCS) SAU, Prof Madya Leon Zhao Liang.

Hadir sama Pengarah International Exchange and Cooperation Office in IIE, Maggie Yu; dan Pengarah Academic Management Office in IIE, Cathy Chang. 
 

  • oleh
  • Advertisement