Anda di sini

Teruskan pemberian laptop percuma pada Belanjawan 2022

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

TAWAU: Kerajaan Pusat perlu segera meneruskan usaha memberikan laptop percuma kepada pelajar B40 dibawah Program CerDik pada Belanjawan 2022.

Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berkata, program itu adalah sebahagian dalam Belajawan 2021 dan ianya sangat memberikan manfaat kepada pelajar khususnya dari golongan keluarga berpendapatan rendah.

Beliau berkata, berdasarkan kajian oleh Kementerian Pendidikan, 37 peratus pelajar dalam negara ini tidak memiliki apa-apa juga bentuk kemudahan untuk pembelajaran atas talian.

"Ini bermaksud 1.7 juta pelajar di seluruh negara masih belum mempunyai peranti digital untuk turut serta dalam Program Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP).

"Sebanyak 518 laptop (daripada 150,000 laptop untuk 500 sekolah seluruh negara dibawah Program CerDik) telah diedarkan kepada hanya dua buah sekolah di Tawau iaitu SK Taman Tawau (197 unit) dan SMK Balung (321 unit)," katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau menegaskan jumlah berkenaan tidak mencukupi kerana masih ramai pelajar di sini yang miskin masih tidak menerima kemudahan itu.

Katanya, walaupun Tawau diwakili pembangkang, semua pihak perlu  mengetepikan perbezaan politik demi masa depan generasi muda.

"Kebajikan kanak-kanak bersekolah perlu diutamakan, saya percaya ramai murid dan pelajar dari isi rumah B40 telah tercicir daripada Program CerDik.

"Pandemik COVID-19 yang berterusan dalam negara ini telah meningkatkan kadar kemiskinan di Malaysia. Sabah khususnya turut melihat jutaan keluarga terjejas," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement