Anda di sini

Sumbangan ICT kepada ekonomi melonjak kepada RM320 bilion pada 2020

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Sumbangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada ekonomi Malaysia terus meningkat kepada RM320.0 bilion pada tahun 2020 dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 10.4 peratus berbandin 7.3 peratus pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata industri ICT menunjukkan perkembangan yang positif walaupun negara berhadapan dengan cabaran yang getir berikutan pandemik COVID-19.

“Pertumbuhan positif ini seiring dengan fokus utama kerajaan dalam pemerkasaan ekonomi digital yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 bagi memulihkan pertumbuhan negara menjangkaui pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata ICT menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NDKTMK), 14.2 peratus dan e-dagang bagi industri lain sebanyak 8.4 peratus.

Sementara itu, NDKTMK mencatatkan nilai RM201.6 bilion dengan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu 3.3 peratus pada tahun 2020 berbanding 6.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Ini disebabkan oleh penyusutan dalam industri kandungan dan media dan perdagangan ICT dengan masing-masing mencatatkan 11.7 peratus dan 4.9 peratus.

“Bagaimanapun, industri pembuatan ICT dan perkhidmatan ICT terus menyokong pertumbuhan NDKTMK masing-masing dengan 5.9 peratus dan 6.7 peratus,” katanya.

Selain itu, Mohd Uzir berkata Nilai Ditambah Kasar e-dagang meningkat kepada RM163.3 bilion pada 2020 daripada RM129.2 bilion yang dilpaorkan tahun lepas, melonjak sebanyak 26.5 peratus berbanding 10 peratus direkodkan pada 2019.

“Buat pertama kali, sejak penyusunan semula Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA), e-dagang merekodkan sumbangan dua digit sebanyak 11.5 peratus kepada KDNK pada tahun 2020,” katanya.

Sektor Pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada Nilai Ditambah Kasar e-dagang dengan sumbangan 54.5 peratus diikuti oleh sektor Perkhidmatan dengan 41.7 peratus.

“Pelaksanaan pelbagai fasa kawalan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19 dan penutupan sektor ekonomi bukan penting telah mendorong pengguna untuk meningkatkan pembelian secara dalam talian, seterusnya mempercepatkan pertumbuhan pasaran e-dagang di Malaysia,” katanya.

Mohd Uzir turut melaporkan guna tenaga dalam industri ICT pada 2020 berjumlah 1.16 juta orang yang menyumbang sebanyak 7.7 peratus kepada keseluruhan guna tenaga.

“Industri pembuatan ICT merupakan penyumbang utama dengan 35.3 peratus diikuti oleh perkhidmatan ICT (29.5 peratus) dan perdagangan ICT (21.7 peratus),” katanya. - BERNAMA

Advertisement