Anda di sini

Presiden Brazil enggan disuntik vaksin COVID-19

Advertisement
 

BRASILIA: Presiden Brazil Jair Balsonaro (gambar) mengesahkan beliau enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 dan sebelum ini pernah menyatakan dirinya akan menjadi “orang Brazil terakhir” untuk mendapatkannya.

Pemimpin berhaluan kanan itu telah menimbulkan kontroversi atas caranya menangani pandemik koronavirus dan sebelum ini memperlekehkan keseriusan virus tersebut sungguhpun telah dijangkiti.

“Saya sudah memutuskan untuk tidak divaksin. Saya sedang meneliti kajian baharu, saya memiliki tahap imunisasi tertinggi, mengapa perlu saya divaksin?” kata presiden itu dalam wawancara bersama Radio Jovem Pan pada malam Selasa.

“Ia umpama mempertaruhkan 10 reais untuk memenangi dua pada loteri. Ia tidak masuk akal.”

Seorang yang sangsi akan koronavirus, Bolsonaro sebelum ini mendakwa vaksin Pfizer akan mengubah orang menjadi buaya akibat kesan sampingan.

Sejak dijangkiti COVID-19 pada Julai 2020, Bolsonaro beberapa kali menuntut bahawa keputusan ujian telah mendedahkan beliau mempunyai daya ketahanan badan yang tinggi, oleh itu, beliau tidak perlu mendapatkan vaksin. Ini disangkal oleh segelintir pakar.

Bolsonaro turut menentang pas kesihatan yang diberikan kepada mereka yang telah mendapat vaksin, yang diperlukan bagi mendapatkan akses tempat awam di beberapa bandar besar Brazil. “Bagi saya, kebebasan ialah keutamaan. Sekiranya seseorang enggan divaksin, itu merupakan haknya dan penamatnya,” kata Bolsonaro.

Hampir 100 juta daripada 213 juta populasi Brazil telah divaksin sepenuhnya menentang COVID-19, manakala 50 juta lagi telah disuntik dengan satu dos.

Minggu lalu, angka kematian akibat COVID-19 di negara tersebut menjangkaui 600,000, angka kedua paling teruk dunia selepas Amerika Syarikat.

Penolakan vaksin oleh Bolsonaro turut dikritik di negara luar, terutamanya pada September apabila beliau membuat perjalanan ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketika di sana, beliau dilihat berdiri memakan piza di tepi jalan, dan media Brazil menyatakan ia ekoran beliau tidak dibenarkan memasuki restoran atas sebab tidak divaksin. - AFP

Advertisement