Anda di sini

PPM rampas rokok seludup bernilai lebih RM65,000

Advertisement
 Rokok yang dirampas di bawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
RAMPASAN: Rokok yang dirampas di bawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas rokok bernilai lebih RM65,000 disyaki diseludup masuk dari negara jiran di Pulau Bum Bum, di sini malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, DSP Mohamad Ismail berkata rampasan tersebut dilakukan kira-kira jam 8 malam.

“Sebelum itu, sebuah bot laju dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dipercayai dari sempadan negara jiran sedang memasuki perairan negara.

“Anggota PPM cuba mendekati bot laju berkenaan untuk membuat pemeriksaan ke atas juragan dan barang yang dibawa,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan bertindak melarikan diri ke kawasan cetek pulau Bum Bum dan meninggalkan bot serta barang yang dibawanya.

“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan telah menemukan beberapa kotak yang mengandungi 62,000 batang rokok pelbagai jenis disyaki diseludup masuk dari negara jiran.

“Semua rampasan rokok yang dianggarkan bernilai RM65,180 itu dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,”katanya.

Mohamad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menggunakan aplikasi Whatsapp Pusat Komunikasi PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0139391197,”katanya.

  • oleh
  • Advertisement