Anda di sini

Pindaan definisi ‘Pribumi’ penting untuk Sarawak 

Advertisement
 

KUCHING: Status anak-anak hasil perkahwinan campur antara bumiputera Sarawak dan bukan bumiputera akan diiktiraf sebagai bumiputera jika pindaan definisi ‘Pribumi’ dalam Perlembagaan Persekutuan diluluskan kelak. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan perkahwinan campur tidak diiktiraf sebagai bumiputera. 

“Kalau kita lihat Perlembagaan Malaysia sekarang, jumlah senarai diklasifikasikan sebagai Pribumi hanya 23 kumpulan etnik sahaja. Tetapi sekarang kita tahu jumlah itu bertambah contoh kaum Selako di Lundu, mereka tidak dalam senarai Pribumi maknanya mereka bukan bumiputera. 

“Sebab itu kita mahu pinda perlembagaan supaya senarai klasifikasi Pribumi ini diserahkan kepada negeri dan kerajaan negeri dapat menyenaraikan siapa yang layak dipanggil pribumi di Sarawak,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media di sini hari ini. 

Hadir sama Menteri Muda Bekalan Air Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Hipni. 

Tambah Wan Junaidi, dianggarkan 35 peratus orang Sarawak berkahwin dengan orang bukan sama pribumi dan terdapat ribuan permohonan status bumiputera yang masih menunggu keputusan. 

Jika definisi Pribumi ini dihapuskan dari Perlembagaan Persekutuan dan diletakkan di bawah undang-undang negeri ia akan jadi lebih mudah jika ada tambahan kumpulan pribumi dijumpai. 

“Kalau kita hendak rujuk dengan Perlembagaan Persekutuan ia adalah susah untuk pindaan jadi lebih baik diletakkan di bawah undang-undang negeri dan diterima oleh Majlis Adat Bumiputera,” katanya. 

Wan Junaidi dalam pada itu berharap pindaan ini mendapat sokongan semua pihak demi kepentingan rakyat Sarawak. 

Mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan hak-hak Sarawak dan Sabah yang terhapus di bawah Perlembagaan Malaysia 1963 (MA63), Wan Junaidi berkata ia akan dibawa untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 25 Oktober ini diikuti bacaan kali kedua pada 28 Oktober dan dibahas. 

Jika cadangan pindaan ini mendapat sokongan dua pertiga daripada 222 ahli dewan, ia akan diluluskan. 

“Saya sudah buat perjumpaan dengan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional  dan juga telah berjumpa dengan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) secara berasingan berhubung pindaan-pindaan ini. 

“Semua sokong setakat yang saya berjumpa, maknanya ada sinar di hujung untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan ini. Yang penting sebagaimana dikatakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pindaan ini akan mengembalikan susunan sebagaimana yang berlaku pada 1963 dahulu,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement