Anda di sini

Penolong jurutera awam dipenjara, didenda akibat salah guna kuasa

Advertisement
 Jamal (kanan) bersama pegawai SPRM semasa berada di lobi Mahkamah Kuching hari ini.
Jamal (kanan) bersama pegawai SPRM semasa berada di lobi Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM202,397 terhadap seorang Penolong Jurutera Awam di sebuah agensi kerajaan di sini, selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan salah guna kuasa.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Nixon Kennedy Kumbong Hukuman selepas perbicaraan penuh dijalankan dan Jamal Abdullah, 61, didapati bersalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Kesalahan di bawah seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mengikut kesemua enam pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahguna kuasa dengan menggunakan jawatannya selaku pegawai agensi kerajaan negeri untuk memilih syarikat milik isteri, abang ipar dan adik iparnya untuk melakukan kerja berkaitan penyelenggaraan bekalan air di sekitar Sampadi, Telok Melano, Bau dan Lundu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukannya secara berperingkat pada April, Mei dan Jun 2016 bertempat di pejabatnya di Jalan Batu Lintang di sini.  

Semua pembayaran berjumlah RM40,479.40 bagi enam kerja itu dibuat ke akaun syarikat milik isteri, abang ipar dan adik iparnya.
Seramai lebih kurang 20 orang saksi dipanggil untuk memberikan keterangan bagi kes yang dibicarakan sejak tahun 2018 ini.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan tertuduh untuk dijatuhi hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara tersebut dijalankan secara serentak. 

Mahkamah juga menetapkan tertuduh untuk dipenjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda RM202,397 yang dikenakan terhadapnya.

Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan sama ada tertuduh telah membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Nisla Abdul Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Francis Wee.

  • oleh
  • Advertisement