Anda di sini

Penganggur dijel, baling rod magnet ke arah rakan gara-gara hutang RM20

Advertisement
Tertuduh (kiri) dijatuhi hukuman penjara 12 bulan berkuatkuasa 11 Oktober 2021.
Tertuduh (kiri) dijatuhi hukuman penjara 12 bulan berkuatkuasa 11 Oktober 2021.

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan rakannya dengan cara membaling sebatang rod magnet ke arah mangsa, gara-gara mangsa gagal membayar hutang RM20.

Majistret Zaiton Anuar juga memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Steven Antau Roseline, 35, untuk dikuatkuasakan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Oktober lalu. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Jacky Assisi Rapheal, 37, menggunakan sebatang rod magnet berukuran lebih kurang 15 inci dalam satu kejadian pada 11 Oktober lalu, jam lebih kurang 1.05 pagi di sebuah bangunan kosong di Jalan Padungan.

Difahamkan, tertuduh berada dalam keadaan mabuk sebelum kejadian berlaku.

Tertuduh juga dikatakan meminta mangsa membayar hutang sebanyak RM20, namun mangsa dilaporkan tidak dapat membayar hutang tersebut.

Sehubungan itu, tertuduh bertindak membaling sebatang rod magnet ke arah mangsa sehingga terkena bahagian dahi mangsa.

Akibatnya, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau dengan sebatan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh berasal dari Serian itu tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspekor Merylene Lindan Andrew Mang.

  • oleh
  • Advertisement