Anda di sini

Mati dengan kesan tikaman

Advertisement
Gambar fail bertarikh 29 September 2019 ini menunjukkan Tirop semasa menyertai Kejohanan Atlet IAAF di Doha.

NAIROBI: Pelari jarak jauh Kenya, Agnes Tirop, ditemui mati dengan kesan tikaman di perut dalam apa yang disyaki sebagai kes pembunuhan, menurut pegawai olahraga.

Polis berkata mereka memburu suami mangsa kerana kejadian yang berlaku di rumah Tirop di hub latihan beraltitud tinggi di Iten, barat Kenya.

Tirop, 25, atlet yang meningkat naik dengan mendadak – pemenang pingat gangsa dua kali kejohanan dunia untuk acara 10,000 meter dan juara dunia rentas desa pada 2015 selain menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam acara 5,000 meter di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

Hanya bulan lepas, ia memecah rekod dunia acara 10 km wanita pada perlumbaan Road to Records di Jerman, dengan masa 30.01 saat, mengatasi rekod lama dengan kurang 28 saat, menurut Olahraga Kenya.

Tirop juga mencipta sejarah pada 2015 apabila menjadi pemenang pingat emas kedua paling muda dalam acara rentas desa wanita selepas Zola Budd.

“Kenya kehilangan satu permata yang merupakan salah seorang atlet yang meningkat naik dengan pantas di peringkat antarabangsa kerana prestasi memberangsangkan,” kata Olahraga Kenya dalam satu kenyataan.

“Kami masih cuba mendapatkan lebih banyak perincian tentang pemergiannya.”

Komander polis Utara Keiyo, Tom Makori, memberitahu AFP bahawa suami Tirop, Emmanuel Rotich adalah “lelaki dengan kepentingan” dalam kes dan kini dalam buruan polis.

“Dia boleh memberitahu kami apa yang berlaku,” kata Makori.

“Suspek ada menghubungi ibu bapa Tirop dengan berkata dia melakukan sesuatu yang salah. Jadi kami percaya dia tahu apa yang berlaku.”

Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta memberikan penghargaan kepada atlet muda ini dan menggesa polis menyiasat sepenuhnya punca kematiannya.

“Ia menyedihkan, sesuatu yang sangat malang di mana kami kehilangan atlet muda berbakat besar pada usia 25 tahun. Dia memberikan banyak kegemilangan kepada negara dengan pencapaiannya dalam sukan olahraga,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedutaan AS di Nairobi juga menyampaikan ucapan takziah di atas kehilangan Tirop, yang digambarkan sebagai harapan untuk wanita dalam sukan.

Pada Sabtu lalui, seorang lagi atlet jarak jauh Kenya, Hosea Mwok Macharinyang, salah seorang atlet dalam pasukan rentas desa yang memecah rekod dunia, mati selepas apa yang dikatakan oleh pegawai olahraga Kenya sebagai bunuh diri.

Macharinyang, 35, ditemui di kediamannya di West Pokot di barat Kenya.

Dia mencipta rekod lapan penampilan dan menang tiga kejuaraan berturut-turut untuk Kenya pada Kejohanan Rentas Desa dunia dari 2006 hingga 2008.

Kenya adalah negara paling berjaya dalam kejohanan rentas desa, memenangi 49 kejuaraan berpasukan dan 27 kejuaraan individu. — AFP

Advertisement