Anda di sini

Manfaat peluang kebenaran rentas daerah, negeri untuk ekonomi

Advertisement
FAIRUZ
FAIRUZ

KOTA KINABALU: Semua pihak perlu memanfaatkan peluang kebenaran rentas daerah dan negeri dengan sebaiknya.

Ketua ARMADA BERSATU Sabah Fairuz Renddan berkata, kebenaran itu adalah khusus bagi meningkatkan semula ekonomi persendirian dan negeri.

"ARMADA Negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor (13 Oktober 2021) dan kita merasakan perkara ini adalah amat wajar kerana sudah pasti masyarakat kita akan memanfaatkan peluang ini untuk bergerak, khasnya bagi mencari kembali sumber pendapatan dan meneroka peluang pekerjaan.

"Selain itu, saya yakin, ramai anak muda yang bekerja di bandar akan pulang ke kampung halaman, bagi berjumpa ibu ayah yang mungkin sudah lama tidak bersua kerana kekangan akibat daripada pandemik dan Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan-sempadan setiap daerah.

"Namun harus diingat, kita perlu terus menjaga SOP kerana ibu bapa di kampung adalah golongan warga emas dan risiko mereka untuk dijangkiti COVID-19 masih tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan turut menegaskan agar ibu bapa untuk menitik beratkan keselamatan anak-anak kecil khasnya di bawah umur 12 tahun yang dibawa bersama keluar.

"Ibu bapa mesti amat peka dan menjaga keselamatan anak-anak kecil ini yang masih belum menerima vaksin.

"Mereka adalah anak-anak yang masih lemah dan sebaiknya, jika tiada keperluan, kurangkan atau elakkan untuk membawa anak-anak kecil ini daripada bersesak di tempat awam," katanya.

Beliau yakin kini rakyat amat gembira dan berbesar hati dengan pengumunan ini kerana ia sudah pasti melegakan banyak pihak, sama ada rakyat biasa, golongan belia yang mencari pekerjaan, ibu bapa di kampung halaman, murid-murid sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, bahkan pelbagai sekotor juga akan perlahan-lahan mulai berkembang semula.

Dalam pada itu katanya, usaha kerajaan dalam memastikan pemberian vaksin kepada semua rakyat juga terus dijalankan. 

"Kita mahu semua rakyat di negeri ini dan negara terus selamat dan dilindungi, jadi kepada mereka yang masih belum menerima suntikan vaksin, ayuh berbuat demikian untuk kita lindungi diri kita, lindungi insan tersayang dan semua di sekeliling kita," katanya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement