Anda di sini

Mahkamah Rayuan benarkan rayuan Christina

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan pada Khamis membenarkan rayuan Datuk Christina Liew dan Samsuri Baharuddin terhadap keputusan Hakim Perbicaraan, Hakim Chew Soo Hoo (ketika itu) di Mahkamah Tinggi Tawau pada 2014. 

Ia berhubung dengan keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa kedua-dua mereka, bersama bekas kerani Christina, Siti Rahfizah Mihaldin menyalahi undang-undang membabitkan 819 pemilik tanah yang terlibat dalam Skim Pekebun Kecil Bagahak kerana melanggar Perjanjian Usahasama (JVA) mereka dengan plantif Borneo Samudera Sdn Bhd (BSSB), syarikat milik kerajaan Sabah.

Dalam pendengaran rayuan itu, Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusan seperti berikut; "Kami mendapati ada merit dalam rayuan ini, rayuan dibenarkan. Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi bertarikh 30 September 2014 diketepikan dan kami memerintahkan supaya perkara ini diremit ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula setelah timbang tara,".

Mahkamah Rayuan dalam sebab keputusannya mengatakan, antara lain, bahawa keputusan Hakim Perbicaraan adalah batal dan tidak sah kerana Hakim Perbincaraan seharusnya tidak meneruskan perbicaraan.

Seharusnya ada timbang tara untuk memutuskan kesahihan JVA yang dimeterai antara pekebun kecil Skim Bagahak dan BSSB.

BSSB telah memohon agar perselisihan antara pihak-pihak dalam saman Mahkamah Tinggi itu ditimbang tara sesuai dengan ketentuan JVA.

Hakim Gopal Sri Ram (seperti ketika itu) di Mahkamah Rayuan pada 2008 memerintah agar Saman Mahkamah Tinggi itu ditangguhkan untuk menyokong timbang tara, tetapi pada 2014 Hakim Perbicaraan telah memutuskan bahawa Christina dan Samsuri bertanggungjawab mendorong pekebun kecil Skim Bagahak untuk melanggar JVA yang dimeterai antara pekebun kecil dan BSSB.

Hakim Perbicaraan memerintahkan agar ganti rugi dinilai oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau. Dalam tuntutannya terhadap Christina dan Samsuri, BSSB menuntut ganti rugi sebanyak RM557,641,716.29.

Sebagai penjelasan, Mahkamah Tinggi Tawau tidak memerintahkan supaya Christina membayar ganti rugi RM557 juta itu dalam keputusannya mengenai kes yang dimulakan oleh BSSB, tetapi hanya memerintah supaya tuntutan BSSB untuk ganti rugi itu dinilai oleh Timbalan Pendaftar.

Sementara itu, saman Mahkamah Tinggi itu dikemukakan untuk pengurusan kes di hadapan Datuk Douglas Cristo Primus Sikayun (ketika itu). Ini adalah untuk pengurusan kes sama bagi perbicaraan kemudian. Peguam BSSB memberitahu Douglas bahawa ada timbang tara untuk menyelesaikan pertikaian tersebut sama ada JVA itu sah atau tidak.

Oleh itu Douglas menangguhkan perbicaraan untuk menunggu keputusan proses timbang tara.

Selain keputusan Mahkamah Rayuan bahawa keputusan Hakim Perbicaraan adalah batal dan tidak sah, ia juga memerintahkan perbicaraan semula Saman Mahkamah Tinggi itu di Tawau. Tetapi ini hanya boleh diadakan selepas tribunal timbang tara untuk memutuskan sama ada JVA itu boleh dikuatkuasakan.

Panel Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan itu ialah Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Wira Haji Ahmad Nasfy Haji Yasin.

Datuk Malik Imtiaz Sarwar, Datuk Alex Decena dan Jordan Kong mewakili Christina dan Samsuri. Sementara Jeyan Marimuttu dan Jimmy Chang mewakili BSSB.

Advertisement