Anda di sini

Mahkamah benar pasport Rosmah dipulangkan sementara ke Singapura

Advertisement
Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor (gambar) supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk melawat anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak kedua dalam tempoh dua minggu lagi.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Rosmah, 69, yang kini sedang membela diri bagi pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar yang dihadapinya dengan syarat pasport itu perlu dikembalikan sebelum atau pada 6 Dis 2021.

“Pasport pemohon (Rosmah) dipulangkan kepada beliau pada hari ini dan perlu dikembalikan sebelum atau pada 6 Dis ini.

“Pemohon hanya boleh ke luar negara iaitu ke Singapura dari 22 Okt dan mesti pulang ke Malaysia sebelum atau pada 21 Nov ini," kata Hakim Mohamed Zaini.

Terdahulu, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memberitahu mahkamah bahawa anak perempuan pemohon iaitu Nooryana Najwa Mohd Najib, 33, sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura.

“Anak perempuan Rosmah mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi sewaktu bersalin yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawanya, jadi kami memohon untuk pasport pemohon dilepaskan sementara,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam tidak membantah permohonan itu selagi ia tidak mengganggu tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan.

“Pihak pembelaan mesti mematuhi garis masa yang dipersetujui kerana kami tidak mahu perbicaraan ditangguhkan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah untuk pulang ke Malaysia sebelum atau pada 21 Nov memandangkan beliau perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebelum perbicaraan bersambung pada 8 Dis ini.

Pada 12 Okt lepas, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memfailkan notis usul untuk memohon pelepasan pasport bagi membolehkan beliau pergi ke Singapura bermula hujung bulan ini sehingga minggu pertama Disember.

Rosmah memfailkan permohonan itu antaranya atas alasan beliau perlu berada di sisi anaknya, Nooryana yang mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi sewaktu bersalin iaitu pengaliran darah yang tidak normal ke uri janin dan kehilangan secara mendadak terhadap takat air ketuban yang bukan sahaja boleh membahayakan keselamatan anaknya itu malah bayi yang dikandungnya.

Selain itu, Rosmah perlu berada di sisi anak sulungya itu sebelum dan selepas bersalin bagi memberi bantuan fizikal, sokongan emosi dan penjagaan terutamanya dalam tempoh berpantang selain memastikan anaknya dapat berehat dan pulih sepenuhnya.

Pada 5 Okt lepas, Rosmah memberi keterangan secara bersumpah pada prosiding perbicaraan peringkat bela diri kes rasuah terhadapnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini akan bersambung pada 21 Okt ini.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu khasnya, Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar itu secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. - BERNAMA

Advertisement