Anda di sini

MA63: Kerajaan Sarawak syor definisikan Hari Malaysia dan pribumi

Advertisement
 Abang Johari menerima kunjungan hormat Wan Junaidi dan Hanifah di pejabatnya di sini bagi membincangkan perkara berkaitan cadangan pindaaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan MA63. 
Abang Johari menerima kunjungan hormat Wan Junaidi dan Hanifah di pejabatnya di sini bagi membincangkan perkara berkaitan cadangan pindaaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan MA63. 

KUCHING: Meminda definisi 'Hari Malaysia' dan 'Pribumi' di Sarawak antara cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63) yang dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pindaan Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2) adalah lebih komprehensif dan mencerminkan semangat sebenar tujuan pembentukan Malaysia menerusi MA63.

"Pindaan-pindaan berkenaan adalah termasuk definisi 'Persekutuan' di bawah Artikel 160 (2), sangat penting dan harus dilakukan agar MA63 dan lampirannya diakui dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pindaan ini juga akan memperkenalkan definisi 'Hari Malaysia' yang tidak pernah ditakrifkan sebelumnya," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Hadir sama pada sidang media, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Sidang media berkenaan susulan kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Taib di pejabatnya.

Selain itu kata Abang Johari turut dibincangkan semasa kunjungan berkenaan termasuk mengenai pindaan definisi 'pribumi' di bawah Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan.

"Dengan pindaan ini, kuasa untuk memutuskan kaum mana di Sarawak yang akan diakui sebagai penduduk pribumi negeri akan ditentukan negeri melalui undang-undang negeri," katanya.

Beliau berkata antara perkara yang dibincangkan adalah cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan kepentingan Sarawak.

Abang Johari berkata lagi ia merupakan percubaan kali kedua mengusulkan pindaan perkara dibawah Perlembagaan Persekutuan berkenaan.

Katanya percubaan pertama pada tahun 2019 tetapi gagal kerana ia tidak mendapat sokongan dua pertiga majoriti yang diperlukan daripada Ahli Parlimen.

"Kerajaan Sarawak tidak memberi sokongan kepada pindaan sebelumnya kerana pada pandangan kami, pindaan itu hanya bersifat kosmetik semata-mata. Ia tidak mencermikan status istimewa Sabah dan Sarawak seperti yang dijangkakan dalam MA63 dan lampirannya," katanya.

  • oleh
  • Advertisement