Anda di sini

Lima pegawai, anggota polis dituduh terima rasuah

Advertisement
__alt__

KOTA KINABALU: Lima individu termasuk seorang pegawai dan empat anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini atas pertuduhan menerima rasuah dalam tempoh 2014 sehingga 2018.

Pegawai polis berpangkat Inspektor, Joevian Gubal Michael, 41 yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud tidak mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Belud secara rasuah memperoleh suapan wang tunai daripada Anizan Misdaranai yang memasukkanny ke dalam akaun bank tertuduh sebagai dorongan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Suapan sebanyak empat kali berjumlah RM2,400 keseluruhan dilakukan masing-masing pada 16 November, 9 Disember, 17 Disember 2016 dan 3 Januari 2017 di Bank Simpanan Nasional (BSN) Kota Belud.

Joevian dibenarkan dengan jaminan RM10,000 dengan deposit RM4,000 dan seorang penjamin serta diarahkan untuk menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Sabah setiap dua bulan.

Bagi Afizul Azwan Anuar, 29 berpangkat Lans Koperal turut berhapan empat pertuduhan selepas menerima suapan sebanyak RM470 daripada individu sama masing-masing pada 13 dan 23 April 2017 serta 6 dan 17 Mei tahun sama.

Afizul diarahkan membayar wang jaminan sebanyak RM8,000 dan deposit RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan. Tertuduh juga diarahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM terdekat sekali dalam Tempoh dua bulan serta diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Khas Rasuah di sini untuk sebutan semula kes pada 24 November depan.

Lans Koperal Hairul Amid, 36 yang tidak mengaku bersalah bagi lima pertuduhan juga diarahkan membayar wang jaminan sebanyak RM10,000 dan deposit RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan perlu menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melapor diri setiap dua bulan di Pejabat SPRM Sabah.

Berdasarkan kertas pertuduhan Hairul menerima suapan sebanyak RM2,000 daripada Anizan dalam lima siri masing-masing pada 11 Ogos 2017, 28 Mac, 30 Mei, 29 Jun 2018.

Azizul Ismail, 32 yang berpangkat Sarjan juga menerima suapan daripada Anizan sebanyak RM900 dalam empat siri perpindahan wang ke dalam akuan simpanannya pada 24 April, 17 Mei, 29 Jun, dan 30 Julai 2017.

Abdullah Bakir, 44 sebagai Koperal juga yang tidak mengaku bersalah terhadap 18 pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan perlu membayar wang jaminan sebanyak RM10,000 serta deposit RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdullah menerima   keseluruhan RM2,250 suapan daripada Anizan dalam 18 siri perpindahan wang ke dalam akaunnya dalam tempoh dua tahun bermula April 2014 sehingga Oktober 2015.

Tertuduh juga diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat sekali dalam tempoh dua bulan dan diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Khas Rasuah di sini untuk sebutan semula kes pada 24 November depan.

Kesemua pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Nurul Izzati Sapifee.

  • oleh
  • Advertisement