Anda di sini

Liga SSC-FAS 2021: Miri FA laung amaran awal

Advertisement

MIRI: Pasukan Miri FA berupaya melepasi peringkat Kumpulan Zon Utara Liga Perbadanan Sukan Sarawak (SSC)-Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS) 2021.

Presiden Miri FA Nazri Ahmad Lai berkata, Miri FA akan bertemu dengan Bintulu FA sebaik sahaja pertandingan itu disambung semula pada 30 Oktober ini setelah ditangguhkan sejak Mei lalu susulan penularan COVID-19.

"Kita telah menang dalam satu perlawanan sebelum ini dan sasaran kita untuk melepasi peringkat kumpulan serta layak ke peringkat seterusnya.

"Menjelang pertemuan dengan Bintulu FA 30 Oktober nanti, kita yakin barisan jurulatih dan pemain tidak sabar meneruskan momentum kemenangan setelah sekian lama tidak beraksi," katanya ketika dihubungi semalam.

Meskipun persiapan sedikit terjejas pada awal musim disebabkan pandemik COVID19, namun pemain Miri FA dilihat masih kekal optimis dan mampu memberikan kejutan dalam pertandingan itu.

"Kita tidak menafikan dalam pertandingan kali ini terdapat persaingan sengit dari pasukan-pasukan lain, namun kita tetap komited untuk melepasi peringkat kumpulan terdiri daripada Bintulu FA dan Mukah FA," ujarnya.

Miri FA katanya, akan menerima kunjungan Bintulu FA di Stadium Terbuka Miri dengan jadual perlawanan dijangka bermula jam 4 petang.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee, semua perlawanan di Pusingan Awal akan bermula pada 30 Oktober 2021 sehingga 20 November 2021.

Liga Bola Sepak SSC-FAS katanya, yang telah bermula pada Mac lalu ditangguhkan pada Mei susulan penularan COVID-19.

Pertandingan ini disertai 11 pasukan bawah umur 25 tahun.

Liga tersebut dibahagikan kepada tiga zon terdiri daripada 11 pasukan meliputi Zon Selatan iaitu Kuching City FC, Serian FA, Samarahan FA, Sarawak United ll FC (Piala Presiden).

Sementara Zon Tengah pula terdiri daripada Sri Aman FA, Sarikei FA, Sibu FA dan Kapit FA sementara bagi Zon Utara, ia meliputi Mukah FA, Bintulu FA dan Miri FA.

Untuk kedudukan semasa pusingan awal, pasukan Kuching mendahului liga diikuti SUFC III, Samarahan dan Serian bagi zon Selatan.

Advertisement