Anda di sini

Lelaki warga asing ditahan miliki syabu

Advertisement
 Dadah jenis syabu yang berjaya dirampas.
RAMPASAN: Dadah jenis syabu yang berjaya dirampas.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu di jalan Ladang Mawang, di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan kehadiran suspek dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superitendan Mohd Yacob Murad berkata lelaki berkenaan cuba melarikan diri sebaik melihat pasukan keselamatan.

“Namun, ketangkasan anggota PGA yang bertugas di lokasi tersebut berjaya menangkap suspek sebelum membuat pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit berumur 40 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan satu plastik berwarna hijau yang mengandungi enam paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Hasil ujian air kencing yang dilakukan, suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Suspek dan syabu seberat 22.59 gram yang dianggarkan bernilai RM2,259 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Yacob berkata, kes disiasat mengikut 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • oleh
  • Advertisement