Anda di sini

Kerajaan pertimbang buka sempadan negara secara selamat

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan membuka sempadan negara secara selamat, dengan membenarkan pelawat asing dari negara tertentu yang telah lengkap divaksin untuk memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib, berikutan perkembangan positif indikator COVID-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata ia melalui program pengiktirafan bersama sijil vaksin seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain.

Jelasnya perkara itu antara yang dimaklumkan dalam mesyuarat MPN yang berlangsung hari ini.

“Ini satu perkembangan positif dalam proses pembukaan sempadan negara yang saya pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi terutamanya sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa, peruncitan dan lain-lain, di samping mempermudahkan urusan pelawat perniagaan dan pelawat sosial,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau telah diberi taklimat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan berpuas hati dengan perkembangan dicapai, khususnya dari segi penurunan kes positif harian, penggunaan katil wad unit rawatan rapi bagi merawat pesakit COVID-19 dan kadar vaksinasi populasi dewasa yang tinggi pada masa ini. 

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pembukaan sempadan negara akan membolehkan rakyat Malaysia ke luar negara tanpa peraturan yang menyulitkan, manakala pelawat sosial dan pelancong asing boleh datang ke negara ini dengan mematuhi syarat ditetapkan.

Ditanya bila perkara berkenaan akan dapat dimuktamadkan, Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan bahawa perkara itu akan dibincang dan dipertimbang dalam mesyuarat kerajaan hari ini.

“...kerana pembukaan sempadan antarabangsa ini sudah dipertimbang lama dan dikira sudah sampai masa selepas rentas daerah dan rentas negeri dibenarkan,” katanya.

Mesyuarat MPN yang berlangsung hampir tiga jam itu turut menyaksikan penglibatan wakil parti pembangkang iaitu Ahli Parlimen Subang Wong Chen (PKR), Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen (DAP), Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah) dan Tan Sri Bernard Dompok mewakili UPKO. - BERNAMA 

Advertisement