Anda di sini

Kepulauan Spratly dan potensi ekonomi

Advertisement
RAFIQ
RAFIQ

KOTA KINABALU: Terletak di laluan utama kapal-kapal dagang asing, Kepulauan Spratly yang berada di tengah-tengah Laut China Selatan sering menjadi tuntutan pelbagai negara termasuk kuasa besar.

Justeru, usaha perlu diambil oleh Malaysia untuk mengukuhkan tahap keselamatan, kestabilan dan meningkatkan penjagaan alam sekitar di kepulauan yang mempunyai lebih 100 buah kecil ini.

Pakar ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Rafiq Idris berkata, jika dilihat pada 2019, nilai dagangan kapal-kapal dagang asing dari China, Vietnam dan Jepun yang melalui Kepulauan Spratly dan Laut China Selatan ini mencecah kira-kira RM1 trilion setahun.

Dalam tempoh sama, jumlah pengendalian kontena di Sabah sahaja berjumlah 379,384 TEU (unit setara 20 kaki) manakala, pengendalian kargo mencecah 34.2 juta tan metrik. 

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS ini berkata, beliau bimbang ketidakamanan, ketidakstabilan atau gangguan pada laluan perdagangan ini boleh mengakibatkan lencongan laluan perkapalan dan sekaligus melambatkan masa penghantaran dan meningkatkan kos perdagangan antara Malaysia dan negara lain.

Situasi ini secara tidak langsung boleh menjejaskan perdagangan yang melalui kawasan Kepulauan Spratly dan Laut China Selatan. Sehubungan itu, keselamatan dan kestabilan di perairan Laut China Selatan dan Kepulauan Spratly ini perlu dipertingkatkan demi pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita tahu Kepulauan Spratly terutama Pulau Layang-Layang amat kaya dengan hasil makanan laut dan menjadi tumpuan aktiviti selam skuba. Terdapat resort pelancongan yang dibina di Pulau Layang-Layang.

"Di samping itu, Kepulauan Spratly juga menjadi tumpuan bagi aktiviti ekonomi lain seperti pelabuhan dan logistik serta perkhidmatan penyediaan bahan bakar (bunkering) yang menyumbang kepada subsektor tertentu bagi ekonomi Sabah. 

“Aktiviti penyediaan bahan bakar ini boleh ditambah baik dan diperluaskan bagi membolehkan kapal-kapal laut termasuk kapal bagi industri hulu minyak dan gas memperoleh bahan bakar dari negara kita sama ada di pelabuhan berhampiran pantai mahupun di perairan terbuka," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

 Kepulauan Spratly Malaysia yang sering menjadi rebutan kuasa besar.
BERPOTENSI: Kepulauan Spratly Malaysia yang mempunyai potensi ekonomi.

Beliau berkata, sekiranya penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, keselamatan serta kestabilan tidak wujud di perairan Sabah, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada subsektor-subsektor berkenaan.

Justeru katanya, keselamatan dan kestabilan di perairan Laut China Selatan ini perlu dipertingkatkan bagi menyokong kelestarian aktiviti ekonomi sedia ada. 

Menurutnya, Kepulauan Spratly menjadi pertikaian beberapa negara kerana kedudukannya yang tidak begitu jauh dari negara lain. Ia juga mempunyai potensi ekonomi dan hasil bumi yang banyak biarpun pada masa ini belum disahkan jika kepulauan ini memiliki sumber minyak dan gas asli.

Namun jelasnya, di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, pemilikan pulau yang dapat dihuni boleh memperluaskan akses eksklusif sebuah negara kepada sumber tenaga di kawasan sekitar 200 batu nautika dari pantai.

Susulan itu katanya, ia memberi ruang kepada Malaysia untuk memperluaskan akses dan meneroka potensi ekonomi sekitar Kepulauan Spratly.

Rafiq berkata, itu antara hasil kajian yang disertainya bersama sekumpulan penyelidik UMS mengenai ‘sumber semula jadi dan potensi pembagunan strategik ekonomi luar pantai Malaysia: Pulau Layang-Layang,’

Mengulas lanjut katanya, perairan Laut China Selatan turut menjadi sumber makanan dan pendapatan pelbagai negara dan jika dilihat statistik pendaratan ikan laut di Sabah pada tahun 2019 berjumlah 179,718 tan metrik dengan nilai borong kira-kira RM1.06 bilion.

Dalam pada itu, Rafiq turut menyarankan Malaysia mengoptimakan aktiviti di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) seperti yang ditentukan UNCLOS 1982 yang meletakkan laut 200 batu nautika dari pantai adalah EEZ milik negara terbabit. Ini termasuk penerokaan dan penggunaan sumber laut.
 

Advertisement