Anda di sini

JPN gempur tiga lokasi di Tawau

Advertisement
 Operasi JPN yang dilakukan di sebuah kilang di daerah ini.
OPERASI: Operasi JPN yang dilakukan di sebuah kilang di daerah ini.

TAWAU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah mengempur tiga lokasi dalam usaha mencegah, membanteras pemalsuan dan penyalahgunaan kad pengenalan diri Malaysia di daerah ini.

Operasi yang dijalankan pada jam 9 pagi itu disertai seramai 20 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN bersama 14 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pegawai Operasi JPN Sabah, Malai Delhaizam Malai Hussin berkata tiga lokasi tersebut termasuklah di Kampung Pasir Putih, Batu 3.5 Jalan Utara dan Batu 3 Jalan Apas, di sini, pada Rabu lalu.

Katanya, tujuan operasi itu bagi melakukan pemeriksaan ke atas individu yang menyimpan, memiliki kad pengenalan palsu atau menyalahgunakan kad pengenalan milik orang lain.

“Sebelum ini banyak laporan yang diterima mengenai kesalahan yang dilakukan oleh warga asing berhubung penggunaan kad pengenalan.

“Justeru, hasil risikan dan maklumat awam, JPN melakukan operasi tersebut bagi tujuan pemeriksaan terutamanya terhadap pekerja warga asing,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, hasil operasi tersebut,  seramai 79 individu diperiksa, namun hanya seorang individu ditahan atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu.

Delhaizam berkata, sepanjang operasi dijalankan, tiada sebarang insiden yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

“Siasatan akan dijalankan mengikut undang-undang JPN mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 kerana memiliki Kad Pengenalan palsu.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,”katanya.

  • oleh
  • Advertisement