Anda di sini

Bapa kanak-kanak tembak mati ibu semasa mesyuarat Zoom diberkas

Advertisement
 

MIAMI: Seorang bapa kepada kanak-kanak berusia dua tahun yang menembak mati ibunya di kepala ketika mangsa sedang bermesyuarat Zoom, telah ditahan di Florida kerana gagal untuk menyimpan pistol daripada jangkauan anak kecil itu.

Veondre Avery, 22, didakwa atas kesalahan membunuh tanpa niat dan gagal untuk menyimpan senjata api dengan baik, telah ditahan pada Selasa, kata polis dan pendakwa raya.

Avery telah menyimpan pistol tersebut, berisi dan tanpa pin keselamatan di dalam sebuah beg galas bertemakan rancangan televisyen kanakkanak, “Paw Patrol”.

Ibu kanak-kanak itu yang berusia 21 tahun, Shamaya Lynn, telah ditembak dengan sebutir peluru ketika sedang bermesyuarat melalui Zoom di kediaman mereka pada 11 Ogos.

Dalam satu panggilan kecemasan, seorang rakan sekerja Lynn berkata: “Salah seorang rakan kami telah pengsan, dia mengalami pendarahan. Kameranya terbuka. Anak kecilnya menangis di belakang,” menurut akbar Orlando Sentinel.

Avery, yang tidak berada di lokasi ketika kejadian, turut menghubungi perkhidmatan kecemasan sebaik sahaja sampai, merayu “tolong cepat” kepada mereka.

Pihak polis yang tiba mendapati Avery sedang cuba untuk menyedarkan teman wanitanya di dalam pangsapuri mereka di Altamonte Springs, sebuah bandar berhampiran Orlando. Namun tidak lama kemudian, mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik.

Menurut Peguam Daerah, Dan Faggard, tarikh perbicaraan belum lagi ditetapkan.

Tembakan tidak sengaja oleh kanak-kanak pernah berlaku di Amerika Syarikat (AS). Pada lewat September di Texas, seorang budak lelaki berusia dua tahun dengan tidak sengaja telah menembak dirinya sendiri selepas menemui pistol berisi di dalam beg galas saudaranya.

“Setiap tahun, beratus-ratus kanak-kanak AS mendapat akses kepada pistol yang berisi yang ditinggalkan di dalam almari, laci, beg mahupun yang dibiarkan begitu sahaja,” menurut laporan terkini oleh Everytown For Gun Safety, kumpulan penyokong kawalan senjata api.

Menurut organisasi tersebut, penembakan tanpa sengaja oleh golongan bawah umur telah mengakibatkan 879 kematian sejak 2015, dengan 114 pada tahun ini. - AFP

Advertisement