Anda di sini

720 kes baharu COVID-19 di Sabah

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Kes COVID-19 Sabah kini dalam trend 'yo-yo' apabila sejumlah 720 kes baharu direkodkan hari ini dengan kenaikan 29 kes berbanding hari sebelumnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, walaupun kes kumulatif Sabah naik hari ini, namun jumlah daerah mencatatkan penurunan kes adalah lebih banyak berbanding daerah yang mencatatkan peningkatan kes.

"Terdapat 11 daerah yang merekodkan peningkatan kes berbanding 16 daerah mencatatkan penurunan kes.

"Seluruh bandar-bandar utama juga mencatatkan penurunan kes kecuali Putatan dan Kudat yang masing-masing merekodkan peningkatan sebanyak 29 kes serta 28 kes berbanding 14 Oktober 2021," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hanya empat daerah yang mencatatkan penurunan pada julat dua angka iaitu Ranau 41 kes, Pitas 41 kes, Kota Kinabalu 11 kes dan Kunak 10 kes.

Katanya, daerah yang mencatatkan peningkatan kes agak ketara ialah Kinabatangan 40 kes, Keningau 23 kes, Tenom 13 kes dan Beaufort 10 kes.

"Walaupun agak sukar untuk meramalkan trend perubahan kes bagi daerah-daerah di Sabah dalam masa terdekat, namun trend kumulatif jangkitan dalam tempoh 14 hari menampakkan trend pelandaian.

"Hari ini, kes baharu yang berpunca daripada saringan bergejala adalah sebanyak 253 kes daripada angka keseluruhan. Ini satu petanda bahawa tahap pematuhan SOP dalam kalangan penduduk belum begitu memuaskan," katanya.

Menurutnya, daripada 720 kes didaftarkan hari ini, 470 kes merupakan kes-kes yang didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Katanya, daripada 720 kes itu, 96.25 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2. Manakala hanya satu kes Kategori 3, empat kes Kategori 4 dan dua kes Kategori 5. 20 kes lagi masih dalam penilaian.
 

  • oleh
  • Advertisement