Anda di sini

Wanita didenda kerana ugut bunuh pekerja pusat jagaan warga emas 

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Seorang wanita didenda RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mengugut bunuh pekerja pusat jagaan warga emas pada Februari lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Cynthia Pui Yan Yan, 35, selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut bunuh mangsa wanita iaitu Nina Ernie Stiben, 31, dalam satu kejadian pada 12 Februari lalu, jam lebih kurang 7.45 malam di sebuah pusat jagaan warga emas di Lorong Laksamana Cheng Ho, di sini.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh iaitu cucu kepada seorang wanita warga emas yang dijaga di pusat jagaan tersebut, datang menemui tertuduh pada hari kejadian.

Tertuduh seterusnya bertindak menuduh mangsa telah mencederakan neneknya dan mengugut hendak membunuh mangsa.

Hasil siasatan juga mendapati kejadian disaksikan oleh majikan pusat jagaan warga emas tersebut.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 4 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam dari Teng Alex and Company.

  • oleh
  • Advertisement