Anda di sini

UNIMAS tunjang realisasikan Sarawak maju menjelang 2030

Advertisement
Rakaman ucapan Abang Johari sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-24 yang berlangsung secara dalam talian dari Dewan Detar PUTRA UNIMAS, Kota Samarahan hari ini.
Rakaman ucapan Abang Johari sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-24 yang berlangsung secara dalam talian dari Dewan Detar PUTRA UNIMAS, Kota Samarahan hari ini.

KUCHING: Hubungan antara kerajaan negeri dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) teraju utama dan tulang belakang dalam usaha menjadikan Sarawak maju menjelang 2030 sebagai satu realiti. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pro Canselor UNIMAS berkata Sarawak kini sedang giat memperkasakan jaringan ekonomi digital di bandar dan di luar bandar. 

Usaha ke arah ekonomi digital katanya telah bermula sejak 2017 dan bermula dari detik itu pelbagai pelaksanaan kerangka strategi serta pelan tindakan telah dirancang dan dilaksanakan. 

“Peranan dan sumbangan UNIMAS dalam ekonomi digital Sarawak sememangnya amat diperlukan. 

“Dalam hal ini UNIMAS telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan Sarawak untuk menjadi penyelaras Pusat Kecemerlangan Sarawak yang bertindak sebagai pengerak utama untuk membolehkan aktiviti pembangunan pendidikan dan teknologi dilaksanakan secara holistik bagi menyokong sektor ekonomi digital. 

“Antaranya aktiviti berkaitan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik), makmal pembelajaran STEM adalah adalah insiatif Kerajaan Sarawak yang berperanan untuk menerokai dan melakukan penyelidikan ke atas polar digital baharu untuk menyokong kerancakan pembangunan ekonomi digital di negeri ini,” kataya.  

Beliau berkata demikian dalam rakaman ucapan sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-24 yang berlangsung menerusi Facebook rasmi UNIMAS hari ini. 

Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib merangkap Canselor UNIMAS secara maya. 

Turut hadir secara maya pada majlis di Dewan Detar PUTRA UNIMAS, Pro Canselor Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang. 

Hadir secara fizikal Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Mohamad Kadim Suaidi.  

Tambah Abang Johari, sehingga kini makmal terbuka STEM telah dilaksanakan di empat bahagian iaitu Kuching, Limbang, Lawas dan Saratok. 

UNIMAS katanya sangat aktif dalam usaha mendidik dan memupuk minat dan kemahiran anak-anak muda di Sarawak dalam menceburi bidang STEM. 

UNIMAS juga telah berkolaborasi dengan pelbagai agensi seperti Digital Talent Development yang melibatkan robotik, dron, alat teknologi diperbaharui dan percetakan tiga dimensi (3D). 

“Usaha-usaha UNIMAS ini amat selari dengan keperluan negeri Sarawak, sebuah negeri yang mengaplikasikan digital teknologi. 

“Saya percaya peranan dan sumbangan UNIMAS ini kepada Sarawak akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
 
“Sebagai universiti awam yang hampir berusia 29 tahun serta mempunyai jumlah tenaga pakar dalam pelbagai disiplin ilmu, UNIMAS telah bergerak seiring dengan kerajaan negeri dalam membantu transformasi Bumi Kenyalang yang kita cintai ini menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi sebelum tahun 2030,” ujarnya. 

Mengenai konvokesyen itu, Abang Johari berkata majlis konvokesyen merupakan acara kemuncak dan ditunggu-tunggu oleh semua pelajar, ibu bapa dan warga universiti. 

Saban tahun katanya kita meraikan majlis konvokesyen ini yang merupakan acara terpenting dalam kalendar UNIMAS. 

Namun tahun ini dan pertama kalinya majlis ini diadakan secara dalam talian dan sesungguhnya perubahan ini tidak menghalang kita untuk terus meraikan kejayaan bakal-bakal graduan UNIMAS yang lebih tiga tahun mengharungi segala cabaran dan dugaan dalam menimba ilmu. 
 

  • oleh
  • Advertisement