Anda di sini

Ugut ibu kandung, lelaki didenda

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki didenda RM3, 000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana mengugut ibu kandungnya menggunakan sebilah parang panjang.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Md. Syafique Md. Hilmie setelah menetili beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
    
Selain itu, Majistret Syafique juga mengambil kira tertuduh yang mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan kesalahan mencuri di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
    
Sudirman Othman, 41, dari Tudan di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, pada 6 Oktober lalu, seorang wanita, 61,  telah membuat laporan polis dengan mendakwa anak lelakinya mengamuk dan marah sambil melibas-libaskan sebilah parang panjang di hadapannya.
    
Kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam, 6 Oktober lalu di rumah keluarganya di Tudan Fasa 3 di sini.
    
Bertindak atas maklumat diterima, pada hari sama, polis telah menangkap seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes ini.
    
Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebilah parang berukuran 71 sentimeter panjang yang dipercayai digunakan tertuduh dalam kes ini untuk dijadikan barang kes.
    
Hasil siasatan lanjut polis mendedahkan sebelum kejadian, pengadu (ibu) telah mengetuk pintu bilik tertuduh setelah terdengar dia bercakap dengan seorang wanita di dalam bilik namun tiada sahutan.
    
Pengadu turut menegur perbuatan tertuduh kerana membawa balik wanita yang tidak mempunyai ikatan sah ke rumah.
    
Selang beberapa minit, tertuduh yang berang dengan teguran itu telah keluar dari bilik sambil membawa sebilah parang panjang dan melibas-libaskannya di hadapan pengadu namun sempat dielak.
    
Di hadapan Majistret, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan semasa kejadian dia sedang mabuk.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement