Anda di sini

Terapkan hasil produk inovasi untuk selesaikan masalah rakyat, organisasi

Advertisement
Abang Johari menerima cenderamata daripada Jaul (kiri) sambil disaksikan Amir (kanan) dan Asfia (belakang). - Gambar Penerangan.
Abang Johari menerima cenderamata daripada Jaul (kiri) sambil disaksikan Amir (kanan) dan Asfia (belakang). - Gambar Penerangan.

KUCHING: Produk inovasi hasil daripada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) penjawat awam disaran untuk dilaksana dan diterapkan ke dalam 'Pelan Pelaksanaan dan Tindakan' terutama untuk menyelesaikan masalah rakyat termasuk luar bandar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion berkata dengan demikian ia boleh diiktiraf supaya mencapai matlamatnya yang berteraskan inovasi dengan impak yang signifikan dan memberi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat.

"Produk inovasi haruslah mencapai matlamat asas iaitu inovasi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

"Ini bererti kalau kita sebagai penjawat awam berhadapan dengan masalah rakyat yang tidak dapat diselesaikan dengan kaedah yang lazim, maka peranan kita adalah untuk memikirkan idea yang bukan lazim untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian berucap Majlis Anugerah Konvensyen Inovasi SCSICA bersempena Penutupan Rasmi Bulan Inovasi Perkhidmatan Awan Sarawak 2021 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Dewan Santapan DUN di sini, hari ini.

Jaul berkata selain itu inovasi harus dibuat untuk menyelesaikan masalah dalaman sesebuah organisasi seperti ketidakcekapan dalam jabatan atau agensi berkenaan. 

Katanya ia bertujuan untuk meningkatkan kecekapan organisasi supaya organisasi boleh bekerja dengan lebih cepat, mesra rakyat, meningkatkan hasil kerajaan, mengurangkan perbelanjaan dan sebagainya.

"Dengan usaha penerapan nilai-nilai budaya inovasi yang berterusan oleh Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri, Jabatan Ketua Menteri selama ini (10 tahun tanpa gagal).

"Saya berharap pelbagai idea dan pendekatan baharu yang lebih segar dan kompetitif dapat dihasilkan agar mampu memecahkan tembok-tembok ‘usang’ kaedah konvensional yang telah kita amalkan sekian lama, namun sudah tidak lagi relevan dan merugikan. 

"Inilah ruang dan peluang yang harus kita ambil untuk mencabar kemampuan sebenar dengan mencetus idea “New ways of doing things”," katanya.

Sementara itu Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Amir Omar dalam ucapannya berkata perubahan landskap ekonomi dan persekitaran di peringkat global dan domestik berikutan pandemik COVID-19 perlu dilihat sebagai satu peluang kepada perkhidmatan awam untuk mengubah cara kerja konvensional kepada kaedah baharu yang sesuai dalam menghadapi cabaran semasa dan akan datang.  

"Pendekatan tenaga kerja yang tangkas, atau 'agile workforce', serta fleksibel dalam menyesuaikan diri dengan keadaan adalah penting di waktu negara dilanda krisis," katanya

Menyentuh mengenai norma baharu bekerja dari rumah, beliau sukacita memaklumkan merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 mengenai Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR). 

"Sebagai usaha berterusan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan keperluan mengimbangi keperluan tugas dan kesejahteraan penjawat awam, dasar BDR diwujudkan sebagai alternatif cara bekerja baharu dalam perkhidmatan awam. 

"Tahun ini, kita dapat lihat bahawa penjawat awam semakin dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dan mampu mengekalkan produktiviti kerja," katanya.

Hadir sama Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.
 

  • oleh
  • Advertisement