Anda di sini

Robert hulur bantuan kepada SJKC Ken Hwa

Advertisement
 Daniel (empat kiri) ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada Chong Nyuk Choon (empat kanan).
SAMPAIKAN: Daniel (empat kiri) ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada Chong Nyuk Choon (empat kanan).



KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik menyalurkan bantuan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Ken Hwa, baru-baru ini.


Bantuan berupa wang tunai, pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan bakul makanan telah disampaikan oleh Ketua Daerah, OKK Daniel Palangi yang mewakili Robert kepada pihak sekolah SJKC Ken Hwa.


Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor ketika dihubungi berkata, sumbangan itu bagi membantu meringankan beban pihak sekolah dan pada masa sama membantu melancarkan lagi urusan pencegahan COVID-19 kepada pelajar dan guru-guru ketika berada di sekolah.


"Saya akan membantu dan menyokong sebaiknya sebagai usaha melindungi pelajar dan pihak sekolah daripada penyakit ini dan memberi keselesaan kepada mereka untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dengan suasana yang selesa dan selamat.


"Saya juga berharap agar pihak pengurusan sekolah akan dapat melaksanakan usaha-usaha pencegahan yang ketat bagi menjamin persekitaran yang selamat untuk pelajar meneruskan sesi pembelajaran di sekolah," katanya.


Beliau turut berharap kepada para pelajar agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada penyebaran COVID-19 berlaku di sekolah khususnya di sekolah tersebut.


Terdahulu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr. Mistirine Radin menyatakan bahawa terdapat seramai 16,328 pelajar di seluruh negeri ini mengikuti sesi persekolahan bersemuka yang bermula pada 4 Oktober lalu.


Terdapat empat kumpulan pelajar sahaja yang akan memulakan sesi persekolahan bersemuka berikutan Sabah masih berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).


Kumpulan berkenaan termasuklah pelajar tingkatan enam atas, murid berkeperluan khas, pelajar pra universiti semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia Sabah dan murid mengambil peperiksaan antarabangsa.

 
Hadir sama pada penyampaian itu, Ketua Masyarakat Cina, Frankie Fong, Jack Chen, Yong Wing On dan Pengetua SJKC Ken Hwa, Chong Nyuk Choon.

  • oleh
  • Advertisement