Anda di sini

Perbaharui Lesen Berniaga dan Lesen DBKK sebelum 31 Dis 2021

Advertisement
NOORLIZA
NOORLIZA

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menasihatkan semua pemegang lesen di kawasan bandaraya ini supaya memperbaharui Lesen Berniaga dan Lesen DBKK sebelum 31 Disember 2021.

Mayor DBKK Datuk Noorliza Awang Alip berkata, bagi mencegah penularan COVID-19, pemegang lesen turut dinasihatkan untuk membuat pembaharuan kesemua lesen berkenaan melalui DBKK E-Services.

Katanya, pembaharuan lesen juga boleh dilakukan di kaunter pembayaran tingkat bawah bangunan DBKK pada hari bekerja berkuat kuasa hari ini.

"Sila kemukakan lesen asal 2021 semasa membuat urusan di kaunter pembayaran dan salinan lesen perniagaan tidak akan dilayan.
 
"Pemegang lesen hendaklah memastikan kesemua cukai pintu, lesen iklan dan kompaun sudah dibayar bagi membantu mempercepatkan proses pembaharuan lesen," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemegang lesen yang sudah berhenti beroperasi atau ingin memindahkan hak milik perniagaan, pihak terbabit disarankan untuk mengemas kini rekod masing-masing di Jabatan Pelesenan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak memperbaharui lesen pada saat-saat akhir bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter pembayaran dan dikenakan penalti sekiranya lewat memperbaharui lesen.

Menurutnya, sebarang makluman lanjut boleh menghubungi Jabatan Pelesenan DBKK di talian 088-521800.

Senarai jenis lesen yang perlu diperbaharui antaranya, lesen berniaga di bawah Ordinan Lesen Perniagaan 1949, lesen penjualan arak, lesen iklan, hotel, pub dan bar, pusat kecantikan dan kesihatan, salun, dobi, restoran, kedai kopi, kantin, gerai makan gandingan, bakeri, kilang membuat atau memproses makanan, minuman dan ais, barang-barang lusuh, serta perniagaan berbahaya.

Bagi lesen hiburan ia melibatkan panggung wayang, pusat hiburan, boling, gelanggang luncur, dewan billiard/pool /snuker, pusat perkhidmatan internet, kafe siber, play station, permainan video, permainan simulasi, mesin hadiah, pusat karaoke, MTV lounge, studio jamming, studio rakaman, persembahan teater atau hiburan awam secara langsung, ruang legar atau dewan dan tempat terbuka yang digunakan untuk pameran, galeri menembak, dan permainan paint ball.
 

  • oleh
  • Advertisement