Anda di sini

Pemilih baharu digesa sahkan butiran mereka sebelum 31 Oktober 

Advertisement
 

KUCHING: Rakyat Malaysia yang berusia antara 18 hingga 21 tahun dan individu berusia lebih 21 tahun yang belum pernah mendaftar sebagai pemilih digesa untuk memeriksa maklumat mereka serta mengesahkannya sebelum 31 Oktober 2021, sebelum mereka secara automatik didaftarkan sebagai pemilih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'kelalan Baru Bian (gambar) dalam kenyataan hari ini berkata, hari terakhir untuk pengesahan adalah 31 Oktober 2021, iaitu 16 hari lagi.

Baru yang juga ahli majlis presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) percaya bahawa dengan pandemik COVID-19 yang mempengaruhi kehidupan setiap rakyat Malaysia kini, rakyat menyedari sejauh mana dasar-dasar kerajaan mempengaruhi mereka.

“Sehubungan itu, kita mempunyai peluang memilih pihak yang kita percayai dalam membuat keputusan polisi untuk kita.

“Satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan menyumbangkan suara kita dalam pilihan raya. Itu adalah hak perlembagaan dan kita mesti menganggapnya sebagai tugas kita untuk melaksanakan hak itu ketika pilihan raya tiba,” katanya.

Tambah Baru, cara terbaik untuk mencapainya adalah dengan mengundi.

“Justeru, saya menggesa semua rakyat Sarawak untuk ikut serta sepenuhnya dalam sistem demokrasi berparlimen kita.

“Anda boleh melakukannya dengan cepat iaitu dengan mengesahkan maklumat anda, selain membiarkan suara anda didengar melalui kotak undi,” katanya.

Jelas Baru juga, pemilih boleh melakukan pengesahan tersebut dengan menggunakan aplikasi MySPR SPPA di https://mysprsppa.spr.gov.my.

“Orang ramai juga boleh mengunjungi mana-mana 604 pusat pengesahan SPPA di seluruh negara dan seterusnya dapat mengimbas kawasan pemilihan mereka menggunakan kod QR.

“Jangan tunggu sehingga beberapa hari terakhir, terutamanya bagi mereka yang mempunyai alamat kad pengenalan berbeza daripada alamat terkini. Ia kerana anda perlu mengemas kini kad pengenalan anda di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selewat-lewatnya pada 31 Oktober,” tegas Baru. 

Terdahulu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan pada 29 September berkata, warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih boleh menyemak, mengesahkan maklumat dan membuat aduan dengan SPR sebelum didaftar sebagai pemilih secara automatik.

Menurut beliau, sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, bakal pemilih dinasihatkan untuk mengemas kini alamat kad pengenalan mereka di JPN selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2021.

Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh menghubungi pejabat pilihan raya negeri mereka, Hotline SPR di 03-88927018 atau melayari laman web www.spr.my.gov. 
 

  • oleh
  • Advertisement