Anda di sini

Pegawai polis dan rakan maut akibat kemalangan

Advertisement
 Kenderaan mangsa yang remuk teruk selepas merempuh pokok dalam kemalangan terbabit.
KEMALANGAN: Kenderaan mangsa yang remuk teruk selepas merempuh pokok dalam kemalangan terbabit.

KOTA KINABALU: Seorang pegawai polis bersama rakannya seorang wanita maut selepas kenderaan mangsa terbabas sendiri dalam kemalangan  di Jalan Lintas  Metrotown di sini kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, mangsa  yang berpangkat Asisten Superintendan (ASP) itu berumur 42 tahun dan wanita terbabit berumur 38 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) II.

Katanya, pegawai polis terbabit bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak.

Menurutnya, sebelum kejadian kenderaan yang dipandu wanita terbabit dipercayai bergerak dari arah pusat membeli-belah Citymall menuju ke Jalan Tuaran Bypass.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca akibat kenderaan mangsa yang dipercayai terbabas sendiri sebelum merempuh pokok di tengah jalan berkenaan.

"Kedua-dua mangsa kemudiannya tercampak keluar dari kenderaan sebelum ditemukan di dalam parit pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Bahagian Kecemasan HQE II sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Dalam pada itu katanya, semasa kejadian keadaan jalan lengang dan kes berkenaan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
 

Advertisement